GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis sedang melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian seorang lelaki yang dipercayai mengendap di kawasan perumahan di Bandar Sri Permaisuri, di sini, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner, Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian ini, pada 11.05 pagi, 16 Januari lalu.

"Sehubungan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan kehormatan seseorang, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 iaitu berkelakuan aib dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

"Sehingga kini beberapa orang saksi sudah dirakam percakapan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, polis mengesan satu klip video berdurasi 48 saat dimuat naik di media sosial oleh pemilik akaun 'isusemasaviral' di satu aplikasi media sosial yang memaparkan kejadian seorang lelaki sedang menghendap di sebuah kawasan berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 11:23 PM