GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun meninggal dunia dipercayai didera dan diabaikan bapanya dalam kejadian di Bandar Tun Razak di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kejadian berlaku ketika bapanya meninggalkan kanak-kanak perempuan itu dalam bilik untuk membeli makanan pada 11.30 pagi.

"Namun ketika pulang pada 2.30 petang, mangsa ditemukan tidak bermaya dan dibawa ke Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada hari sama dan disyaki terdapat unsur penderaan serta pengabaian oleh penjaga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.

"Setakat ini, belum ada tangkapan, kita sudah merakam percakapan bapa mangsa bagi membantu siasatan, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 8:37 PM