ABDUL Hadi berucap pada Ceramah Mega PN Best di Jalan Permatang Sungai Dua di sini, sempena kempen PRN Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
ABDUL Hadi berucap pada Ceramah Mega PN Best di Jalan Permatang Sungai Dua di sini, sempena kempen PRN Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
Muhammad Yusri Muzamir


Tasek Gelugor: Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Best di Sungai Dua di sini, malam tadi, dianjurkan tanpa membabitkan kehadiran kepemimpinan mahupun calon dari Gerakan.

Ceramah mega yang menampilkan Presiden Pas merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Pengerusi Perhubungan Bersatu Pulau Pinang merangkap calon PN Dun Penanti, Zulkifli Bakar.

Difahamkan, Timbalan Presiden PN merangkap Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai hadir ke ceramah itu, namun Pengerusi PN Pulau Pinang itu diminta untuk meninggalkan majlis kerana dikatakan tidak diundang untuk menyertai program berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong, ketika dihubungi mengesahkan parti itu tidak diundang untuk menghadiri program Ceramah Mega PN Best berkenaan.

"Saya hanya maklum mengenai penganjuran Ceramah Mega PN Best menerusi siaran langsung di Facebook.

"Setahu saya ceramah berkenaan mungkin untuk Pas sahaja dan mungkin mereka tak undang kita kerana penganjurannya dibuat di lokasi majoriti Melayu atau hanya mahu penceramah dalam kalangan Melayu.

"Kita tak gaduh pun. Gerakan dengan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff; Setiausaha Pas negeri, Iszuree Ibrahim dan pimpinan PAS negeri lain pun okey.

"Namun, rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi masing-masing itu perkara biasalah dalam politik.

"Kerjasama serta hubungan dengan Pas dan Bersatu sebenarnya okey, tetapi sedikit tidak puas hati dalam kalangan parti komponen itu perkara biasalah," katanya.

Ceramah Mega PN Best itu turut menampilkan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad serta barisan calon yang mewakili parti itu, termasuk tiga calon Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 12:19 PM