Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Insiden calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, Datuk Dr Dominic Lau dihalau tidak mencerminkan gabungan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya berkata, insiden itu berlaku disebabkan sedikit salah faham sehingga menyebabkan keadaan tidak sewajarnya timbul.

"Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sudah mengeluarkan kenyataan memohon maaf berhubung apa yang berlaku di situ.

"Dengan kenyataan (permohonan maaf) yang dikeluarkan oleh PAS, saya percaya ada langkah susulan.

"Saya sudah minta supaya program ceramah besar diadakan di sana yang mana semua calon termasuk Datuk Dr Dominic, tokoh PAS yang ada, Bersatu di atas satu pentas untuk bersama-sama," katanya ketika diminta mengulas berhubung insiden berkenaan.

Jelas beliau, pihaknya percaya insiden itu tidak akan menjelaskan sokongan pengundi malah tidak berbangkit di tempat lain.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Tawaran PN Negeri Selangor, Doubletree Hilton, Seksyen 7 di sini, malam tadi.

Terdahulu, media melaporkan PAS memohon maaf atas insiden membabitkan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), itu yang didakwa 'dihalau' ketika Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN), Best di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 7:57 AM
Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Tawaran Perikatan Nasional negeri Selangor bersempena Pilihanraya Negeri (PRN) di DoubleTree by Hilton Shah Alam. FOTO ASYRAF HAMZAH
Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Tawaran Perikatan Nasional negeri Selangor bersempena Pilihanraya Negeri (PRN) di DoubleTree by Hilton Shah Alam. FOTO ASYRAF HAMZAH