Presiden GERAKAN, Dominic Lau pada majlis Pengisytiharan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Perikatan Nasional (PN) di Markas PAS Pongsu Seribu di sini. FOTO DANIAL SAAD
Presiden GERAKAN, Dominic Lau pada majlis Pengisytiharan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Perikatan Nasional (PN) di Markas PAS Pongsu Seribu di sini. FOTO DANIAL SAAD
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Teka-teki berhubung spekulasi pencalonan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas hampir terjawab apabila beliau dikhabarkan bakal bertanding di Machang Bubok.

Nama Lau, 56, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang dilihat berada dalam senarai calon terkini yang dikongsi kepada media dalam kumpulan WhatsApp PAS Pulau Pinang hari ini.

Manakala nama Yang Dipertua PAS Bayan Baru merangkap Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim disebutkan akan bertanding di DUN Bayan Lepas.

Iszuree, 55, yang juga Ahli Anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang dari 2010 hingga 2014.

Majlis pengumuman calon PN oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee malam tadi menyaksikan nama Lau tidak diumumkan bertanding di mana-mana kerusi.

Manakala calon asal yang diumumkan di kerusi Machang Bubuk ialah Ahli Jawatankuasa Pemuda Gerakan Pusat, Tan Hum Wei.

Gerakan Pulau Pinang dijadual akan mengadakan majlis deklarasi calon di ibu pejabat parti itu pada jam 3 petang ini.

Semalam, ahli akar umbi PAS Bayan Lepas mengadakan perhimpunan aman membantah pencalonan Dominic di DUN Bayan Lepas sekiranya Lau bertanding di kerusi yang tradisinya ditandingi parti itu.

Sebelum itu, tular dakwaan Lau akan bertanding di DUN Telok Ayer Tawar yang juga kerusi majoriti Melayu dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor yang turut mencetus bantahan dalam kalangan Pemuda PAS di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 1:42 PM