Muhammad Yusri Muzamir

Tasek Gelugor: Keputusan Pas untuk tidak lagi mahu menjalin kerjasama dengan DAP dibuat secara kolektif dan mengambil kira pelbagai aspek secara keseluruhan.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, ia turut mengambil kira faktor Pas tak bersedia menggadaikan prinsip perjuangan parti Islam itu dengan menjadi 'yes man' kepada DAP.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, ia antara lain dimuktamadkan secara kolektif oleh Majlis Syura Ulamak dengan keputusan untuk bekerjasama dengan DAP atau sebaliknya perlu dibuat berpandukan prinsip perjuangan Pas.

"Berkawan (dengan DAP) dulu pun kita namakan tahaluf, bukannya walak. Tahaluf ini hanyalah smart partnership dalam isu tertentu, antaranya menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 ketika itu.

"Ia (kerjasama) dengan syarat iaitu jangan ganggu prinsip yang Pas mahu bawa, selain kita tahu dia (DAP) punya dasar dan sebagainya. Namun, apabila sampai tahap (prinsip) PAS pun kamu mahu ganggu, kita withdraw (tarik diri).

IDRIS berucap pada Ceramah Mega PN Best di Jalan Permatang Sungai Dua sempena kempen PRN Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
IDRIS berucap pada Ceramah Mega PN Best di Jalan Permatang Sungai Dua sempena kempen PRN Pulau Pinang. FOTO Danial Saad

"Kita kalau mahu menang, perlu ada prinsip. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lagi kita boleh jadi 'yes man' DAP, apa dia hendak kita ikutkan semua, kemudian Pas boleh ikut jadi kerajaan dengan dia.

"Namun, kita tahu dan bersedia berdepan kekalahan ketika memasuki gelanggang PRU-14. Alhamdulillah kerana prinsip kita, biar kita kalah tidak rebah, menang tidak megah," katanya ketika ditemui selepas Ceramah Mega PN Best di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan lain, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Pas optimis mengulangi kemenangan Perikatan Nasional (PN) ketika PRU-15 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.

"Insya-Allah dengan mood yang ada ketika ini, kita mengharapkan momentum ini dapat dikekalkan sehingga 12 Ogos nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 7:55 AM