DENGAN bekalan graduan TVET mahir yang mampan, majikan lebih yakin untuk menerima dan melaksanakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
DENGAN bekalan graduan TVET mahir yang mampan, majikan lebih yakin untuk menerima dan melaksanakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyokong sepenuhnya usaha memastikan pendidikan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) dipacu permintaan menerusi kerjasama di antara industri atau majikan dengan penyedia TVET.

Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, malah usaha itu perlu dipertingkatkan supaya graduan TVET memenuhi keperluan untuk pekerja berkemahiran tinggi yang semakin meningkat.

Beliau berkata, langkah sedemikian menjadikan graduan TVET bersedia sepenuhnya untuk menyumbang kepada majikan yang mengambil mereka bekerja tanpa melalui fasa latihan baharu atau latihan semula kerana dibekalkan kemahiran diperlukan di pasaran kerja.

"Pembabitan sektor swasta dalam program TVET adalah penting untuk mewujudkan sistem TVET dipacu permintaan yang menyumbang ke arah pencapaian matlamat negara.

"Dasar TVET kebangsaan selari Ekonomi Madani diperkenalkan kerajaan yang memacu pembangunan kemahiran berkualiti melalui gabungan latihan berasaskan bilik darjah dan pengalaman praktikal di tempat kerja memerlukan pembabitan lebih tinggi daripada majikan sektor swasta.

"Kerjasama dengan sektor swasta membantu pelatih TVET memperoleh kemahiran diperlukan di tempat kerja, juga mengurangkan ketidakpadanan antara graduan TVET dan permintaan pasaran buruh," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, latihan praktikal ditawarkan sektor swasta menyediakan pengalaman persekitaran kerja dan mewujudkan sikap lebih baik kepada graduan TVET.

Beliau berkata, pembabitan majikan sektor swasta dalam latihan TVET adalah peranan strategik yang penting untuk meningkatkan kerelevanan graduan TVET.

"Penyertaan sektor swasta dalam penggubalan dasar dan kurikulum TVET dan proses membuat keputusan adalah penting untuk pembangunan TVET yang mampan dipacu oleh permintaan pasaran buruh.

"Juga penting penyertaan sektor swasta membentuk rangka kerja dasar untuk TVET dalam pembangunan kemahiran memudahkan integrasi pembelajaran dan amalan di tempat kerja sekali gus mengukuhkan tadbir urus TVET.

"Selain itu, penyertaan sektor swasta dalam jawatankuasa TVET kebangsaan memastikan kurikulum TVET memenuhi permintaan pasaran kerja semasa," katanya.

Menurutnya, pembabitan itu memastikan apa diajar dalam pendidikan TVET relevan dengan keperluan sektor swasta kerana membolehkan graduan TVET bersedia bekerja tanpa latihan semula di tempat kerja tempoh lama hingga menelan belanja tinggi.

Pada masa sama, Syed Hussain berkata, ia juga mengurangkan kos penyedia TVET sambil meningkatkan peluang pelatih untuk pembangunan kemahiran yang diperlukan graduan TVET.

REPUTASI TVET perlu dipertingkatkan dengan mempromosikan manfaat TVET dan menonjolkan kisah kejayaannya.
REPUTASI TVET perlu dipertingkatkan dengan mempromosikan manfaat TVET dan menonjolkan kisah kejayaannya.

"Apa pun, perlu dijelaskan dalam sistem pendidikan TVET yang dipacu permintaan memastikan mereka boleh diambil bekerja dan dapat menarik pakej pekerjaan lebih baik.

"Dengan bekalan graduan TVET mahir yang mampan, majikan lebih yakin untuk menerima dan melaksanakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan digitalisasi dalam proses pengeluaran dan perkhidmatan mereka.

"Untuk memastikan graduan TVET mempunyai kemahiran kalis masa depan, terdapat keperluan untuk industri terbabit secara aktif membangunkan kurikulum dan dalam penyampaian pembelajaran juga penilaiannya," katanya.

Kata beliau, MEF mempunyai beberapa cadangan memperkasakan TVET yang jelas membawa manfaat jangka panjang kepada pembangunan kurikulum negara.

Beliau berkata, antara cadangan MEF adalah meningkatkan pembiayaan TVET untuk memastikan pelajar mempunyai akses kepada peralatan dan kemudahan terkini, dan untuk menarik serta mengekalkan guru, jurulatih dan pelajar berkelayakan tinggi.

"Kakitangan akademik TVET harus diberi lebih banyak cuti sabatikal untuk mengikuti latihan di industri, untuk meningkatkan lagi pengetahuan mereka dan mempunyai maklumat langsung mengenai perkembangan terkini dalam industri dan seterusnya memahami keperluan mereka.

"Pendidikan TVET boleh dibuat lebih relevan dan responsif kepada keperluan pasaran buruh. Reputasi TVET perlu dipertingkatkan dengan mempromosikan manfaat TVET dan menonjolkan kisah kejayaannya.

"Ini membantu menarik lebih ramai pelajar berkualiti ke TVET dan mengurangkan stigma berkaitan pendidikan vokasional bahawa ia kononnya hanya untuk pelajar lemah akademik," katanya.

Syed Hussain berkata, sistem pendidikan TVET pada masa ini dihimpit mandat dan bidang kuasa berbilang, bertindih antara bidang kuasa kementerian serta agensi terbabit.

Katanya, hal itu memberi banyak kekangan kepada kelancaran sistem TVET kerana akreditasi program diletakkan di bawah dua entiti berasingan dan dilihat mengelirukan majikan sektor swasta.

"Diploma dan ijazah yang dianugerahkan kepada graduan TVET hendaklah diiktiraf sepenuhnya oleh kerajaan dan industri.

"Dengan perubahan dan pembangunan TVET yang terkini, TVET menjadi pendidikan paling relevan pada masa hadapan.

"Masa hadapan juga didorong oleh teknologi dan kecerdasan buatan (AI). Ia menjadi lebih robotik dan digital. Ia memerlukan pengalaman langsung dengan alatan moden. TVET ialah laluan untuk masa hadapan," katanya.

Beliau berkata, MEF mendokong saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, yang menyeru syarikat besar dan syarikat multinasional (MNC) membantu menampung pembiayaan TVET.

Katanya, dengan berbuat demikian, syarikat besar dan MNC secara langsung membantu rakyat untuk memperoleh kemahiran tinggi melalui pendidikan TVET.

Sementara itu, Naib Presiden 1 Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Mohd Azamanizam Baharon berkata, supaya lebih mantap memenuhi keperluan pembangunan negara, sistem pendidikan nasional perlu lebih bersifat permintaan (demand driven) berbanding penawaran (supply driven).

"Sistem pendidikan negara kita mesti bersifat demand driven supaya kurikulum dan latihan kemahiran disediakan relevan.

"Apa yang penting, ia dapat memenuhi permintaan pasaran pekerjaan terutama dunia hari ini berubah kepada digital Internet Of Thing (IoT).

"Justeru, memang ada keperluan kebolehpasaran graduan atau pelatih multi-tasking (berbilang kemahiran), berminda usahawan dan disulam penguasaan bahasa, idea dan berinovatif lagi kreatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 7:02 AM