Suliati Asri


Bajet 2022 memperuntukkan RM6.6 bilion bagi memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memenuhi permintaan pekerja keperluan industri.

Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Mohd Azlan Mohammad Husain berkata, nilai peruntukan berjumlah RM6.6 bilion itu adalah nilai peruntukan tahunan terbesar pernah diberikan kepada pembangunan TVET di Malaysia.

Menurutnya, TVET memperoleh peruntukan besar kerana peranan penting bidang ini sebagai salah satu pemangkin untuk membangunkan bakat berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan ekonomi dan demi mencapai matlamat negara yang makmur, inklusif dan mampan.

Katanya, melalui pemerkasaan TVET, masyarakat Malaysia bakal mendapat akses luas kepada peluang latihan kemahiran dan seterusnya peluang pekerjaan selain penjanaan pendapatan.

"Ini akan menyediakan taraf hidup yang lebih baik kepada semua rakyat Malaysia dan membolehkan pengagihan ekonomi secara lebih adil, saksama dan inklusif kepada semua kumpulan pendapatan, etnik serta wilayah.

"Dalam pembentangan bajet jumaat lalu, peruntukan RM6.6 bilion ini akan memberikan fokus utama untuk memperkasakan TVET negara bagi menghasilkan sumber tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri.

"Melalui tujuan itu, peruntukan sebanyak RM200 juta bakal disalurkan untuk mengukuhkan lagi usahasama antara institusi TVET dengan industri termasuklah melalui pelaksanan SKIM Latihan Dual Nasional (SLDN) dan program persijilan Industri," katanya.

Jumlah peruntukan yang besar ini penting untuk membolehkan penstrukturan semula dan penambahbaikan program TVET di institusi Latihan kemahiran selain ia dapat dilaksanakan dengan mengutamakan program-program yang berpandukan industri atau dikenali juga sebagai 'industry led' TVET.

BAJET 2020 memperuntukkan RM6.6 bilion bagi memperkasa bidang TVET untuk memenuhi permintaan pekerja keperluan industri
BAJET 2020 memperuntukkan RM6.6 bilion bagi memperkasa bidang TVET untuk memenuhi permintaan pekerja keperluan industri

Dr Mohd Azlan berkata, sebelum ini pembabitan industri dalam program TVET di Malaysia adalah berfokuskan kepada perancangan kurikulum dan penyediaan tempat untuk latihan industri.

"Pemain industri sudah mula dilibatkan dalam pembangunan bidang TVET negara melalui pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Nasional (NOSS) bertujuan untuk merangka kurikulum yang memenuhi keperluan industri.

"Selain itu, pembabitan industri juga sudah dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui program Skil Latihan Dual Nasional (SLDN) yang membabitkan 70 hingga 80 peratus aktiviti pembangunan kemahiran yang dilaksanakan di premis-premis industri untuk memberi pengalaman kerja sebenar kepada pelatih TVET," katanya.

Keberkesanan program SLDN dalam usaha membabitkan penyertaan industri secara aktif bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan kemampuan program untuk membuka peluang pekerjaan yang cerah kepada graduan TVET menyebabkan ia dijadikan model kepada pelaksanaan 'industry led' adakah peruntukan besar yang diberikan kepada bidang TVET sebelum ini masih belum mencukupi untuk membentuk program yang dapat melahirkan graduan kemahiran yang memenuhi keperluan industri?

"Jawapannya, ia memang sentiasa tidak mencukupi kerana pelaburan yang besar sentiasa diperlukan untuk membolehkan program-program TVET di Malaysia kekal relevan dengan kemajuan industri dan ekonomi global.

"Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, perkembangan industri lebih terarah kepada teknologi pintar, Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) Internet of think dan teknologi hijau.

"Oleh itu, perbelanjaan besar diperlukan institusi TVET untuk menambah baik kurikulum latihan, meningkatkan kemahiran tenaga pengajar dan paling utama adalah untuk menyediakan fasiliti serta peralatan yang dapat memenuhi keperluan kurikulum latihan yang semakin berkembang," katanya.

Bagaimanapun, kerajaan sudah mengambil inisiatif melalui pemantapan usaha sama dengan industri yang bakal dikukuhkan melalui Bajet 2022 ini.

Sebagai contoh kata Dr Mohd Azlan, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Makmal dan bengkel sedia ada di institusi TVET akan dinaik taraf kepada Institution-Industry Lab (IIL) melalui kaedah pemilikan bersama antara beberapa institusi TVET dan industri terpilih.

"Penubuhan IIL bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dari segi pemindahan dan perkongsian pengetahuan, kemahiran serta teknologi.

PERUNTUKAN ini bakal digunakan untuk menyediakan fasiliti dan peralatan yang dapat memenuhi keperluan kurikulum latihan
PERUNTUKAN ini bakal digunakan untuk menyediakan fasiliti dan peralatan yang dapat memenuhi keperluan kurikulum latihan

"Perkongsian ini juga bakal menjimatkan kos institusi TVET dan dalam masa sama memastikan graduan yang dihasilkan memenuhi keperluan industri," katanya

Peruntukan besar kepada bidang TVET ini juga penting kerana dalam RMK-12 yang baru diumumkan, kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan bidang-bidang baru TVET bagi melahirkan bakat-bakat diperlukan untuk pasaran kerja pada masa hadapan.

Antaranya ialah sektor aeroangkasa, animasi, pembikinan filem dan permainan elektronik.

"Program TVET berkaitan sektor air juga akan diperkenal bagi memenuhi permintaan tenaga mahir untuk industri pada masa hadapan.

"Ini dalam usaha untuk membuka luas peluang pekerjaan kepada generasi muda yang berbakat dalam bidang-bidang berkenaan.

"Pengenalan sektor baru bidang TVET ini memerlukan belanja yang besar untuk urusan pembangunan kurikulum, promosi dan pelaksanaan," katanya.

Dr Mohd Azlan berkata, peruntukan yang besar juga diperlukan untuk membentuk ekosistem TVET yang kukuh iaitu teras utama kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia.

"Melalui ekosistem TVET yang kukuh, negara akan dapat menyelesaikan isu kebergantungan kepada tenaga kerja asing, membasmi isu keciciran akademik pada generasi remaja, mengurangkan jurang antara kualiti graduan dan keperluan industri, meningkatkan kemahiran komuniti di kawasan luar bandar serta menjadikan TVET pilihan utama pelajar.

"Ekosistem TVET yang kukuh ini juga memerlukan perbelanjaan yang besar untuk tujuan pembangunan, promosi dan juga pelaksanaan," katanya.

Secara keseluruhannya pelaburan yang besar kepada bidang TVET negara ini pastinya adalah perbelanjaan yang bakal mendatangkan hasil jangka masa panjang kepada negara.

"Ini kerana TVET adalah suatu bidang yang holistik, sesuai untuk semua lapisan masyarakat termasuk B40, orang kurang upaya (OKU) Orang asli, tidak mengira peringkat umur dan bangsa," tambahnya.

Bagi Pengarah Kolej Komuniti Kluang, Johor Faridatuljana Mohd Noor, dia menyokong penuh inisiatif kerajaan dan peruntukkan yang umumkan dalam Bajet 2022 jumaat lalu.

Menurutnya, selaras dengan Majlis TVET Negara yang ditubuhkan pada Februari lalu, terdapat enam inisiatif utama yang dikemukakan sebagai hala tuju agenda pemerkasaan TVET iaitu merangka model pembiayaan mampan, membangun polisi untuk menggalakkan penyertaan industri, mewujudkan Pelan Penjenamaan TVET Nasional, menubuhkan TVET Collaboration Hub, mewujudkan polisi penyelarasan penawaran program TVET dan membangunkan Data Raya TVET.

"Kita sedia maklum bahawa kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi latihan kemahiran sekarang memang menawarkan kursus yang memfokuskan kepada TVET selaras dengan kehendak semasa.

"Terdapat 104 Kolej Komuniti di seluruh Malaysia menawarkan program sijil yang memfokuskan kepada bidang TVET dan ada juga yang terus menawarkan diploma. Selain itu, sebanyak 36 politeknik menawarkan diploma dalam bidang TVET.

"Justeru, dengan baj et yang diperuntukkan dan kolaborasi strategik antara institusi dapat melatih lebih ramai pelajar dan peserta program TVET dengan ilmu serta kemahiran yang memenuhi keperluan industri," katanya.

Dengan tumpuan diberikan kepada usaha memenuhi keperluan industri semasa pula Faridahuljana berpendapat, ia bagi membabitkan peralatan dan kepakaran di kawasan-kawasan tumpuan.

"Dengan peralihan teknologi semasa ke arah IR 4.0 dan budaya digitalisasi ia akan dapat membantu lebih ramai pelajar atau peserta program TVET.

"Ia sekali gus dapat membantu menstruktur dan merapatkan jurang kemahiran serta ekonomi di kawasan tumpuan," katanya.

Sementara SLDN pula adalah satu kaedah latihan yang berlandaskan 'industry driven' di mana dikendalikan melalui usahasama syarikat-syarikat dan institusi latihan.

Pelaksanaan SLDN dibuat dengan kaedah Usahasama Pusat Latihan Kemahiran (PLK) dan Syarikat serta Syarikat Latihan Dalaman (In-house).

"Dengan peruntukan tahunan yang diberikan, sokongan alatan dan teknologi semasa serta kepelbagaian program yang ditawarkan buat masa ini, saya percaya pada masa akan datang lebih ramai pekerja mahir dan separa mahir akan dapat dihasilkan.

"Menerusi kemahiran yang diperoleh daripada tenaga pengajar pakar, saya juga percaya lebih ramai usahawan TVET dapat dihasilkan," katanya.

"Saya juga berharap semoga bajet ini dapat diagih dan digunakan sebaik-baiknya oleh semua institusi supaya dapat melahirkan lebih ramai graduan atau usahawan TVET yang kemudiannya akan menyumbang semula kepada kemajuan dan ekonomi negara," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Profesor Ir Dr Hafizal Mohamad berkata, peruntukan Bajet 2022 itu adalah bukti kerajaan mengiktiraf kepentingan TVET sebagai satu agenda penting untuk pembangunan industri dan negara.

Katanya, peruntukan bajet untuk TVET ini juga amat penting untuk memastikan kelangsungan pembangunan tenaga kerja berkaitan vokasional dan teknikal di era IR4.0.

PELBAGAI bidang TEVT baru bakal diperkenalkan bagi melahirkan bakat-bakat diperlukan untuk pasaran kerja pada masa hadapan.
PELBAGAI bidang TEVT baru bakal diperkenalkan bagi melahirkan bakat-bakat diperlukan untuk pasaran kerja pada masa hadapan.

"Negara perlu pertingkatkan tenaga teknikal yang lebih mahir dan kompetent untuk mampu bersaing di rantau Asia serta tidak ketinggalan berbanding negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia yang kian meningkat dalam kadar yang tinggi (growth rate).

"Kadar indek kompetitive negara juga perlu dipertingkatkan untuk menarik lebih banyak pelaburan dan pembangunan domestik berkaitan teknologi maju," katanya.

Program kerjasama TVET bersama industri dan institusi pengajian harus dipertingkatkan untuk memastikan kehendak semasa industri dipenuhi.

Dr Hafizal berkata, terdapat keperluan industri yang berubah seiring dengan transformasi digital untuk kekal relevan dan menghasilkan pengeluaran serta perkhidmatan yang lebih cekap.

"Antaranya ialah program pensijilan bersama industri penting untuk mengiktiraf pelajar TVET yang berkebolehan di samping meningkatkan peluang pekerjaan pelajar.

"Pendedahan berkaitan kemahiran baru melalui program kerjasama bersama industri juga perlu dipertingkatkan selain 'reskilling' program dan 'upgrading capabiliti' harus dilaksanakan.

"Usaha berintegrasi dan sistematik perlu diutamakan dalam pelaksanaan agenda TVET negara," katanya.

Dengan adanya program berterusan dan sasaran jangka panjang, ia akan memastikan lebih banyak tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal serta vokasional.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 7:00 AM