Ahmad Zahid hadir untuk perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Ahmad Zahid hadir untuk perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini diberitahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta projek pembinaan Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, Perak diteruskan selepas terhenti berikutan akaun Yayasan Akalbudi disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengurus projek masjid berkenaan, Ramli Ghani, 56, dalam keterangannya berkata, beliau mendapat tahu mengenai perkara berkenaan kerana ia dibincangkan dalam satu pertemuan di tapak pembinaan masjid terbabit.

Ramli yang juga saksi kesembilan pembelaan berkata, (dalam pertemuan berasingan) Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberitahunya beliau akan mencari sumber lain bagi membiayai pembinaan masjid terbabit.

Beliau yang disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Ahmad Zahid datang ke tapak projek dua bulan sekali selain menghadiri mesyuarat rasmi antara lima atau enam kali di mana sesi perbincangan mengenai kelulusan bangunan, cat dan karpet akan dirujuk kepadanya.

Disoal Mohd Dusuki sama ada mengetahui dari mana sumber lain yang dimaksudkan oleh Ahmad Zahid itu, Ramli berkata, beliau tidak tahu.

Ramli memberi keterangan pada prosiding bela diri Ahmad Zahid, 70, terhadap 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Dalam keterangannya semalam, Ramli berkata, kerja pembinaan Masjid Tuminah Hamidi terhenti seketika kerana Yayasan Akalbudi disiasat oleh SPRM.

Katanya, ia menyebabkan pembinaan tergendala sekitar 2018 yang menyebabkan syarikat kontraktor tidak menerima bayaran bagi kerja pembinaan selama tiga bulan kerana akaun bank yayasan disita agensi itu.

Ramli yang bekerja dengan syarikat Noble Energy Construction Sdn Bhd selaku kontraktor pembinaan masjid, berkata kerja pembinaan diteruskan pada awal tahun 2019 iaitu empat atau lima bulan selepas itu apabila pembayaran mendapat pelepasan daripada Yayasan Al-Falah (milik keluarga Ahmad Zahid).

Sementara itu, Ramli bersetuju dengan Ahmad Dusuki bahawa kos pembinaan masjid yang menelan belanja RM43.7 juta itu menerima sumber kewangan utama daripada Yayasan Akalbudi, manakala Yayasan Al-Falah dilantik sebagai pemaju.

Katanya, ikatan kontrak melalui surat perjanjian dalam bentuk tawaran antara Yayasan Al Falah, Yayasan Restu (bagi kerja hiasan dalaman) dan syarikat Noble Energy disediakan oleh firma guaman, Lewis & Co.

Disoal mengapa Yayasan Akalbudi tidak termasuk dalam senarai perjanjian, saksi menjawab, "di luar pengetahuan saya."

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Dusuki bahawa Al-Falah memainkan peranan utama dalam pembinaan masjid berkenaan dan saksi menegaskan Yayasan Akalbudi masih (memainkan peranan utama) walaupun selepas akaun disita sehingga perlu mendapat pelepasan dari Al-Falah bagi pembayaran kepada kontraktor diteruskan.

Perbicaraan dibuat di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 3:23 PM