AHMAD Zahid hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi. FOTO Hairul Anuar Rahim
AHMAD Zahid hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi. FOTO Hairul Anuar Rahim
BERNAMA

SEBUAH firma guaman menerima 92 cek berjumlah RM76,967,355.41 daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam tempoh dua tahun, bagi dana itu disimpan dalam akaun Yayasan Al-Falah untuk tujuan keagamaan dan kebajikan, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

B Muralidharan, 62, rakan kongsi Messrs Lewis & Co mendedahkan kepada mahkamah bahawa semua cek itu kemudiannya disimpan dalam akaun pelanggan firmanya.

"Saya terima semua cek bukan pada waktu yang sama, antara 20 Mei 2016 dan 9 April 2018 daripada Ahmad Zahid di rumahnya di Country Height, Kajang; pejabat Ahmad Zahid, dan firma kami di Bangsar.

"Cek-cek ini adalah bagi pembinaan masjid dan sekolah tahfiz di Bagan Datuk, Perak (kawasan Parlimen Ahmad Zahid). Saya diberitahu sebaik sahaja cek itu diluluskan.. supaya duit itu dimasukkan dalam deposit tetap, supaya faedahnya diperoleh," katanya.

Muralidharan berkata, akaun deposit tetap diletakkan di bawah Yayasan Al-Falah, sebuah yayasan kebajikan yang dimiliki oleh keluarga Zahid, yang mana adiknya Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi adalah pengerusi dan pemegang amanahnya.

Peguam cara itu berkata demikian semasa pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran pada hari ke-33 perbicaraan Anggota Parlimen Bagan Datuk itu, yang menghadapi tuduhan pecah amanah, rasuah dan tuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Berdasarkan kepada kenyataan saksi Muralidharan, pemilik cek berkenaan adalah daripada beberapa syarikat dan individu.

Menjawab soalan mengenai persetujuan yang dicapai antara beliau dengan Ahmad Zahid berhubung cek-cek berkenaan, saksi itu berkata, pada dasarnya beliau diberitahu oleh Ahmad Zahid bahawa ia adalah bagi tujuan keagamaan dan kebajikan.

"Saya seterusnya faham bahawa fail Yayasan Al-Falah turut mengandungi lejar yang menyenaraikan urusan berkaitan dengan pemeriksaan 92 cekā€¦ kerani saya Puan Sothilechmy diarah untuk mengekalkan dan mengemaskini lejar itu bagi tujuan audit," katanya.

Menjawab satu soalan Raja Rozela sama ada Ahmad Zahid adalah pemegang amanah Yayasan Al-Falah, Muralidharan menjawab "Tidak".

Saksi pendakwaan ke-87 itu berkata, beliau dilantik mewakili Yayasan Al-Falah apabila beliau menerima kumpulan cek pertama sekitar 2016, namun tiada dokumen yang menyatakan pelantikannya itu, kerana beliau melakukan tugas di yayasan itu secara 'pro-bono' (percuma).

"Memang menjadi amalan biasa bagi firma ini untuk bertugas secara 'pro-bono' bagi kerja-kerja kebajikan dan ia termasuk bagi kuil atau gereja. Kami tidak buat kerja-kerja perundangan (bagi yayasan itu).

"Kami cuma kumpul cek dan anggap ia sebagai pihak berkepentingan," katanya.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 5:16 PM