Kumpulan pemancing yang dilaporkan hilang ditemui selamat kira-kira jam 5.33 petang semalam. FOTO Ihsan APMM
Kumpulan pemancing yang dilaporkan hilang ditemui selamat kira-kira jam 5.33 petang semalam. FOTO Ihsan APMM
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Sekumpulan pemancing menaiki bot yang dilaporkan hilang di kawasan perairan Inderasabah awal pagi kelmarin, ditemukan selamat petang semalam.

Kesemua mereka iaitu Hasbin Mahmud, 48, (juragan bot) bersama pemancing, Mapiase Palilu, 53; Sabaruddin Sahuna, 37; Mohd Fadlizan Japar, 31; Abdul Razak Abd Rahman, 51; Darwis Andi Permata, 46, dan Kong Fun Voo@Mohd Yusof, 49, kesemuanya warga tempatan, manakala seorang lagi Luesanti Narksanga, 41, pemegang pasport warga Thailand.

Mereka ditemui pasukan mencari dan menyelamat di kedudukan 7.6 batu nautika barat laut Pulau Sipadan, jam 5.35 petang.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi), Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Amiludin Yenggah berkata, bot dinaiki kumpulan pemancing terbabit dipercayai mengalami masalah enjin dan hanyut sehingga terputus komunikasi.

Beliau berkata, salah seorang daripada mereka bagaimanapun berjaya menghubungi pasukan keselamatan dan memaklumkan lokasi bot sebelum diselamatkan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan seterusnya dibawa ke Pos Maritim Inderasabah.

"Sejurus menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) kita turut mengaktifkan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Pos Maritim Inderasabah bagi mengumpul maklumat berkaitan mangsa yang terbabit. .

Terdahulu, media melaporkan kesemua pemancing berkenaan dikhuatiri hilang apabila dilaporkan tidak pulang ke rumah masing-masing selepas keluar memancing di kawasan perairan Inderasabah, pada awal pagi Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 9:39 AM