SEBAHAGIAN kayu nibong yang dirampas APMM di perairan Inderasabah, petang semalam. FOTO ihsan APMM
SEBAHAGIAN kayu nibong yang dirampas APMM di perairan Inderasabah, petang semalam. FOTO ihsan APMM
Abdul Rahemang Taiming


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 820 batang kayu nibong dianggarkan bernilai RM246,000 dalam Ops Pluto Timur di perairan Inderasabah, Tawau, petang semalam.

Menerusi operasi jam 2.30 petang itu, anggota bot peronda APMM yang sedang menjalankan rondaan di sektor pengoperasian terserempak dengan beberapa ikatan kayu terapung pada kedudukan kira-kira 6.5 batu nautika dari selatan muara Sungai Inderasabah.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, pemeriksaan mendapati sebanyak 41 ikatan pelbagai saiz membabitkan sejumlah 820 kayu jenis nibong.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi bagaimanapun tidak menemukan sebarang aktiviti mencurigakan atau kegiatan menunda kayu balak di kawasan perairan berkenaan.

"Kami masih menjalankan siasatan lanjut namun tidak menolak kemungkinan kayu ini disyaki cuba diseludup masuk ke daerah Tawau melalui perairan kampung Indersabah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Siva Kumar berkata, semua kayu nibong terbabit ditunda ke Pos Hadapan Inderasabah, Zon Maritim Tawau untuk tindakan selanjutnya.

"Kes seterusnya dirujuk ke Jabatan Perhutanan Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Enakmen Perhutanan 1968," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai menyalurkan maklumat termasuk pelanggaran undang -undang atau aduan kecemasan di kawasan perairan Tawau dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 10:38 PM