Junaidi Ladjana dan Norasikin Daineh

Tawau: Suami isteri ditemui selamat petang tadi, manakala 13 lagi masih hilang selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Kampung Tinagat, di sini, dipercayai tengah malam tadi.

Pasangan itu ditemui selamat pada 6 petang oleh pemancing yang terdengar jeritan meminta tolong kira-kira 100 meter dari pantai berkenaan.

Mereka ditemui selepas berjam-jam hanyut dan masing-masing berpaut pada satu jaket keselamatan.

Susulan itu, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut dan orang ramai segera menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 6.30 petang tadi, mengatakan sebuah bot karam dan terdapat 13 mangsa dikhuatiri hilang dan dua lagi ditemui selamat di tepi pantai Kampung Batu Payung, di sini.

"Mangsa lelaki dalam keadaan sedar manakala wanita separuh sedar dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dijalankan di kawasan pinggir pantai berkenaan membabitkan sembilan anggota bomba," katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, bot itu bertolak dari Kampung Tinagat pada 6 petang semalam menuju ke Sungai Nyamuk, Indonesia.

Sementara itu, bot kilat milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau dan sebuah lagi bot Pasukan Polis Marin digerakan untuk operasi SAR.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 8:56 PM