BERNAMA

Tawau: Takut dicekup, lelaki yang juga juragan bot bertindak membuang beg berisi 32 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM1.76 juta di perairan Inderasabah dekat sini, semalam, selepas dikejar bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah APMM Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, rampasan dadah menerusi Op Sejahtera pada 11.30 malam itu sekali gus menggagalkan sindiket pengedaran syabu yang dipercayai didalangi warga tempatan dan negara jiran.

"Peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot laju yang mencurigakan dan juragan bot itu tiba-tiba memecut laju ke arah muara Sungai Inderasabah selepas menyedari dihampiri pihak peronda.

"Dalam lima minit, peronda mengejar dan kerana panik juragan bot membuang satu bungkusan ke laut. Selain juragan, terdapat kelibat seorang lagi individu dipercayai kru bot.

"Bagaimanapun suspek meloloskan diri ke kawasan paya bakau di sekitar Inderasabah," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

SHAHRIZAN (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas di kawasan perairan Inderasabah, malam tadi. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
SHAHRIZAN (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas di kawasan perairan Inderasabah, malam tadi. FOTO Abdul Rahemang Taiming.

Dalam pada itu, Shahrizan berkata, pencarian bungkusan itu di perairan Inderasabah membawa kepada penemuan sebuah beg dan pemeriksaan lanjut mendapati beg berkenaan mengandungi 32 peket bungkusan dengan label teh Cina 'Guan Ying Wang', yang setiap satu berisi syabu seberat 1 kg.

"Kita percaya dadah ini diproses di Malaysia untuk pasaran Indonesia," katanya dan menambah ia merupakan rampasan dadah terbesar pernah dilakukan Zon Maritim Tawau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah di perairan Zon Maritim Tawau diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dengan menghubungi talian 089752116 atau MERS999.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 4:46 PM