GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Berang ditegur akibat salah laluan, seorang penghantar makanan 'mengamuk' dengan bertindak memecahkan pintu bilik kawalan di sebuah apartment di Taman Nirwana di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, lelaki berusia 26 tahun itu dikatakan bertengkar dengan pengawal keselamatan sebelum bertindak demikian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis menerima laporan kejadian daripada pengurus keselamatan berusia 37 tahun.

"Lelaki itu yang memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di bilik kawalan melihat berlaku pertengkaran antara pengawal keselamatan warga Nepal dan seorang penunggang motosikal.

"Kejadian berlaku apabila pengawal keselamatan menegur penunggang itu yang memasuki laluan salah menyebabkannya marah.

"Lelaki itu juga bertindak memukul pintu bilik kawalan menggunakan besi pengunci motosikal sehingga pecah menyebabkan kerugian RM200," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, Mohd Azam berkata, polis menahan suspek selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, pada jam 4.30 petang hari sama.

Beliau berkata, polis turut merampas motosikal dan pakaian yang digunakan semasa kejadian.

Katanya, suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 24 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 4:24 PM