TANGKAP layar daripada video tular yang menunjukkan aksi lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya.
TANGKAP layar daripada video tular yang menunjukkan aksi lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya.
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Penghantar makanan yang dirakam melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di jalan raya di sini, ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah di rumahnya di Kampung Cheras Baru, pada 10.30 pagi.

Menurutnya, pihaknya sebelum itu mengesan video yang dimuat naik pemilik akaun Twitter yang memaparkan aksi penunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda.

"Lelaki itu duduk di atas kotak barang yang diletakkan di tempat duduk pembonceng dengan kedua tangan tidak memegang pemegang motosikal, dalam kelajuan yang boleh mendatangkan bahaya kepada dirinya dan pengguna jalan raya lain.

"Hasil siasatan, polis mengenal pasti penunggang terbabit dan berjaya menahannya selain turut merampas motosikal digunakan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai dua waran tangkap atas kesalahan trafik.

Bagaimanapun, katanya, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek negatif dadah.

Mohamad Farouk berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Beliau turut memohon kerjasama pemilik akaun Twitter @jnmalaysia dan perakam video itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ampang Jaya, Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-13078348 atau tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, rakaman video berdurasi 12 saat tular yang memaparkan aksi penunggang motosikal terbabit tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 8:10 PM