GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Polis menahan seorang penghantar makanan yang disyaki bertindak mengetuk pintu sebuah kenderaan dengan topi keledar selain mengugut pemandu terbabit dalam kejadian di Jalan Lingkaran Tengah 2, dekat Wangsa Melawati, kelmarin.

Dalam kejadian 2 petang, lelaki berusia 55 tahun yang juga pengarah syarikat sedang memandu kereta menuju ke Ampang sebelum dihampiri motosikal ditunggang suspek berusia 45 tahun bersama anaknya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pengadu mendakwa diarah penunggang motosikal itu supaya berhenti.

"Penunggang itu menunjukkan isyarat tangan dan menghalang laluan pengadu.

"Suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadu dan bertindak memukul pintu bahagian penumpang hadapan kenderaan menggunakan topi keledar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, beliau berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan Ukay Perdana pada 1.45 pagi semalam.

Mohd Azam berkata, polis turut merampas motosikal dan topi keledar yang disyaki digunakan semasa kejadian.

Tambahnya, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.

"Berdasarkan siasatan awal, punca kejadian suspek mendakwa pengadu menghimpit motosikalnya semasa laluan keluar simpang," katanya.

Kata beliau, suspek direman empat hari bermula semalam sehingga 24 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 5:49 PM