PENGUAT kuasa DBKL mengangkat motosikal yang menghalang laluan OKU dan siar kaki. FOTO DBKL.
PENGUAT kuasa DBKL mengangkat motosikal yang menghalang laluan OKU dan siar kaki. FOTO DBKL.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 22 motosikal yang diletakkan di laluan orang kurang upaya (OKU) dan siar kaki di sekitar Jalan P Ramlee serta Jalan Ampang, di sini hari ini.

DBKL berkata, tindakan itu diambil penguat kuasa dan warden trafik menerusi Tindakan Khas Angkut dan Kompaun Kenderaan Buat Halangan Tempat Awam.

"Sebanyak 22 motosikal dialihkan ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL, Jalan Pahang untuk tindakan lanjut termasuk pengeluaran 22 notis kompaun dan tahanan sementara. 

"Pengguna jalan raya dan pemilik premis diingatkan agar mematuhi peraturan dan isyarat lalulintas yang telah ditetapkan pihak berkuasa," menurut kenyataan dimuat naik di Facebook.

DBKL berkata, tindakan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 9:58 PM