DBKL gempur penjaja tanpa kebenaran di kaki-kaki lima sekitar ibu negara dalam operasi pada Sabtu dan Ahad lalu. FOTO Ihsan DBKL
DBKL gempur penjaja tanpa kebenaran di kaki-kaki lima sekitar ibu negara dalam operasi pada Sabtu dan Ahad lalu. FOTO Ihsan DBKL
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggempur penjaja tanpa lesen berniaga secara haram di kaki lima sekitar Jalan Ampang, Jalan Imbi dan Jalan P Ramlee di sini.

DBKL dalam satu kenyataan di Facebook berkata, operasi tindakan khas penjaja tanpa lesen bukan warga negara itu dijalankan sekitar ibu negara pada Sabtu dan Ahad lalu.

"Sebanyak empat tindakan sita/pindah halangan diambil ke atas penjaja bukan warga negara yang menjaja makanan dan minuman termasuk dua peniaga pakaian terpakai.

"Satu notis kompaun di bawah Undang-undang kecil (UUK) 3(1), UUK Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 terhadap penjaja warga negara tanpa lesen," kata kenyataan itu hari ini.

DBKL berkata, tindakan diambil susulan aduan dan penularan video memaparkan aktiviti menjaja membabitkan individu dipercayai warga asing baru-baru ini.

Katanya, anggota penguat kuasa akan ditempatkan di lokasi-lokasi hotspot bagi memastikan aktiviti itu dapat dibendung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 3:09 PM