SEBANYAK 14 notis dikeluarkan menerusi Tindakan Khas Laluan Waktu Terhad Siri 21/2023 di sekitar Jalan Cheras dan Jalan Amra Sentul. FOTO Ihsan DBKL
SEBANYAK 14 notis dikeluarkan menerusi Tindakan Khas Laluan Waktu Terhad Siri 21/2023 di sekitar Jalan Cheras dan Jalan Amra Sentul. FOTO Ihsan DBKL
Raja Noraina RajaRahim

Kuala Lumpur: Kedegilan pemandu lori yang ingkar larangan waktu perjalanan di ibu kota mengundang padah apabila dikenakan tindakan saman oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL menerusi kenyataan semalam memaklumkan, sebanyak 14 notis dikeluarkan menerusi Tindakan Khas Laluan Waktu Terhad Siri 21/2023 di sekitar Jalan Cheras dan Jalan Amra Sentul, di sini, semalam.

"Operasi oleh pegawai dan anggota Jabatan Penguatkuasaan DBKL itu memeriksa 27 kenderaan membabitkan lori simen, treler, lori angkut bahan binaan serta pelbagai kenderaan lain yang melalui laluan dikhaskan waktu terhad bermula jam 6.30 pagi hingga jam 9.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan itu, kesalahan dikesan adalah ingkar larangan waktu laluan terhad, membawa bahan binaan seperti batu, pasir dan kayu tanpa permit laluan, kenderaan kotor serta halangan lalu lintas yang menyebabkan kesesakan," katanya.

Berikutan itu, katanya, tiga kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan 11 notis saman mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

DBKL turut mengingatkan pemandu kenderaan berat supaya mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan.

Katanya lagi, tindakan penguatkuasaan itu akan diteruskan selepas ini dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 12:55 PM