PENGUAT kuasa DBKL mengangkat motosikal yang melakukan kesalahan dalam operasi semalam. FOTO FB DBKL.
PENGUAT kuasa DBKL mengangkat motosikal yang melakukan kesalahan dalam operasi semalam. FOTO FB DBKL.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Sejumlah 35 notis kompaun pelbagai kesalahan lalu lintas dan sembilan motosikal ditahan sementara dalam operasi Tindakan Khas Angkut dan Kompaun Premis Buat Halangan Tempat Awam, semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan tindakan diambil pasukan daripada Jabatan Penguatkuasaannya dengan motosikal itu dialihkan ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL di Jalan Pahang untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, motosikal itu dikesan menghalang laluan pejalan kaki, kaki lima premis dan ingkar papan tanda larangan parkir kenderaan di Jalan Bangsar di sini.

"Sementara 35 notis kompaun adalah lain-lain kesalahan lalu lintas, manakala empat notis kompaun turut dikenakan terhadap premis yang melakukan halangan di luar premis dan menumpahkan cecair minyak di tempat awam.

"Tindakan diambil mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959," menurut kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

DBKL juga mengingatkan pengguna jalan raya dan pemilik premis agar mematuhi peraturan serta isyarat lalu lintas yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 8:52 PM