ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang dihempap jengkaut. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang dihempap jengkaut. FOTO ihsan bomba
Oleh Shahrul Nizam Mohamad


Temerloh: Pemandu jengkaut terbunuh selepas kenderaan berat dipandunya itu terbalik dan terjunam ke dalam sungai akibat mendapan tanah di Kampung Sungai Dingin, Mentakab, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 9.50 pagi itu, mangsa, Azemi Mohamad, 53, dari Kampung Paya Luas, dekat sini, sedang melakukan kerja menyelenggara tebing sungai.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, kejadian itu disedari penduduk yang kebetulan berada di seberang sungai.

"Lelaki berusia 50 tahun itu kemudian memeriksa dengan teliti sebelum mendapati jengkaut terbalik dalam sungai lalu menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab untuk meminta bantuan," katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui jengkaut berkenaan termasuk mangsa yang tersepit berada di tepi sungai.

Katanya, lapan anggota penyelamat turun ke tebing sungai dengan ketinggian kira-kira 10 meter untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam jengkaut berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 5:19 PM