Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gerik: "Kak balik dah", itu mesej WhatsApp terakhir yang diterima Huzairah Basir, 42, daripada Rohaya Harun, 46, yang maut bersama suaminya, Mohamad Nasir Samsudin, 44, di Kilometer (KM) 25 Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Hentian Titiwangsa, di sini, hari ini.

Nahas antara Perodua Myvi dinaiki pasangan suami isteri itu dengan sebuah lori simen turut mengakibatkan tiga anak mereka cedera parah dengan seorang daripadanya kritikal.

Huzairah adalah jiran pasangan suami isteri itu dan dia tidak menyangka pesanan itu adalah petanda Rohaya pergi buat selama-lamanya.

Menurutnya, Rohaya berkata demikian kerana dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Bakau Emas, Kangar, Perlis menuju Jeli, Kelantan untuk balik kampung sempena cuti perayaan Hari Raya Aidiladha ini.

"Ketika itu saya hendak mengajak Rohaya sekeluarga sambut hari jadi anak saya di rumah, esok (Ahad) dan Rohaya hanya membalas yang dia sudah dalam perjalanan pulang ke kampung.

"Perbualan WhatsApp itu pun tergantung di situ kerana saya belum membalas mesej itu.

"Bila kenang balik, mungkin melalui mesej itu Allah sudah beri 'hint' (petanda) yang dia akan kembali kepada Tuhan, hanya kita yang tidak tahu," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Kecemasan Hospital Gerik, di sini, petang tadi.

Dalam insiden nahas itu, tiga anak Rohaya dan Mohamad Nasir iaitu dikenali sebagai Mohamad Zarith Mohamad Nasir, 7; Nur Auni Batrisya Mohamad Nasir, 12; dan Mohamad Amir Zaqwan Mohamad Nasir, 14, cedera parah dengan Mohamad Zarith kini kritikal.

KEADAAN di perkarangan Jabatan Kecemasan Hospital Gerik, di sini, petang tadi. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
KEADAAN di perkarangan Jabatan Kecemasan Hospital Gerik, di sini, petang tadi. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Kata Huzairah lagi, biarpun sekadar berjiran namun hubungan keluarga mereka rapat malah anak-anak Rohaya sudah menganggap dirinya seperti ibu sendiri dengan memanggilnya 'mami'.

"Sebelum dibawa memasuki jabatan kecemasan hospital tadi, saya sempat bertemu Mohamad Amir Zaqwan sempat bertanya saya "mami jaga kami (tiga beradik) boleh?".

"Walaupun saya belum memberitahunya keadaan ibu bapanya yang sudah meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, adik bongsu kepada Rohaya, Syamimi Aiyuni Harun, 35, yang juga menetap di Kangar tidak jauh dari rumah kakaknya itu, berkata kakaknya ada memberitahu mahu pulang ke kampung di Kampung Layak, Jeli sempena Aidiladha minggu depan.

Katanya, selain mengambil bahagian dalam ibadah korban sempena Aidilfitri ini bersama suami dan adik-beradik yang lain di Jeli, Rohaya turut ada memaklumkan ingin menziarahi kubur arwah ayah mereka di sana.

"Kak Aya (panggilan untuk Rohaya) juga beritahu hendak ke kubur ayah, nak duduk lama-lama. Kali terakhir Kak Aya jumpa mak adalah dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu ketika kami bawa emak duduk kira-kira sebulan di Kangar," katanya.

Menurutnya, jenazah kakak dan abang iparnya dijangka dikebumi di Kampung Layak, Jeli Kelantan selepas menjalani proses bedah siasat di Hospital Gerik, esok.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata siasatan awal mendapati nahas itu berlaku apabila kereta dinaiki lima beranak itu dari arah Gerik menghala Jeli hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lori simen dipandu lelaki berusia 50 tahun dari arah bertentangan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 10:02 PM