LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Anak bongsu kepada pasangan suami isteri yang maut di Kilometer (KM) 25 Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Hentian Titiwangsa di Gerik, petang semalam yang sebelum ini kritikal, semakin beransur stabil.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Mohamad Zarith Haris Mohamad Nasir, 7, yang sejurus kejadian dihantar ke Hospital Gerik bagi rawatan awal, sudah dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, juga pada semalam.

"Anak lelaki pasangan itu yang berusia tujuh tahun mendapat rawatan awal di Hospital Gerik namun dia sudah dirujuk ke HRPB Ipoh semalam, dan keadaannya semakin stabil," katanya ketika dihubungi petang ini.

Dalam nahas petang semalam, Rohaya Harun, 46, maut bersama suaminya, Mohamad Nasir Samsudin, 44, selepas Perodua Myvi dinaiki bersama ketiga-tiga anak mereka bertembung sebuah lori simen yang turut menyebabkan tiga anak pasangan itu cedera parah manakala Mohamad Zarith Haris kritikal.

Mohd Yusri berkata, anak sulung pasangan itu, Muhamad Amir Zaqwan, 14, juga kini sudah dirujuk ke HRPB semalam selepas mendapat rawatan awal di Hospital Gerik selain keadaannya kini juga stabil.

Katanya, juga anak kedua pasangan suami isteri itu, Nur Auni Batrisya, 12, kanak-kanak perempuan itu kini masih di wad Hospital Gerik dan sedar serta stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 6:47 PM