Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Gerik: Mangsa kemalangan lima sekeluarga maut dekat Hentian Titiwangsa, di KM62, Jalan Raya Timur-Barat, di sini, semalam dikatakan dalam perjalanan pulang dari Kelantan ke Pulau Pinang selepas menghantar ahli keluarga terdekat masuk ke pondok.

Anak sulung kepada dua mangsa nahas itu, Muhammad Firdaus Mohd Rodhi, 35, berkata pemergian lima sekeluarga itu ke Kelantan adalah bagi menghantar adiknya yang berusia 29 tahun memasuki sekolah pondok di Pasir Tumboh, Kelantan namun perlu segera pulang ke Pulau Pinang susulan terdapat kematian ahli keluarga jauh yang lain.

Katanya, semua mangsa maut iaitu ibu, bapa, adik perempuan, adik ipar, serta anak saudaranya sepatutnya pulang hari ini ke Pulau Pinang namun semalam arwah ibunya menerima panggilan memaklumkan bapa mentua kepada adik ibunya meninggal dunia serta akan dikebumikan di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, malam tadi.

"Mereka yang sepatutnya pulang pada hari ini terpaksa balik cepat semalam selepas menghantar adik," katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Gerik, di sini.

Dalam nahas itu, mangsa maut dikenal pasti sebagai Ahmad Khomaini Baba, 32; Siti Aishah Mohd Rodhi, 32; Mohd Rodhi Othman, 64; Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59; dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 6.

Kata Muhammad Firdaus lagi, ibunya ada menunjukkan sedikit kelainan sikap apabila pada pagi Jumaat sebelum bertolak ke Kelantan, dia dan ibunya sempat berpelukan selain dan berkucupan selain ibunya ada mengatakan berasa tidak berapa bermaya kerana sakit dada.

"Emak juga ada berpesan agar tolong menjaga ikan peliharaannya sepanjang pemergiannya ke Kelantan dan pada pagi Jumaat itu, pelik sedikit sebab sempat berpelukan dan berkucupan dengan emak," katanya.

EMPAT van jenazah membawa jenazah lima sekeluarga yang maut dalam nahas di KM62 berhampiran Hentian Titiwangsa, Jalan Raya Timur Barat, Jeli-Gerik di perkarangan Unit Forensik Hospital Gerik. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
EMPAT van jenazah membawa jenazah lima sekeluarga yang maut dalam nahas di KM62 berhampiran Hentian Titiwangsa, Jalan Raya Timur Barat, Jeli-Gerik di perkarangan Unit Forensik Hospital Gerik. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sementara itu, Muhammad Naim Mohd Rodhi, 26, yang juga merupakan anak kepada Mohd Rodhi dan Sharifah Rohana ketika ditemui hari ini berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan ibu bapanya adalah kira-kira sebulan lalu sewaktu menghadiri instiadat konvokesyen di sebuah universiti awam di Shah Alam.

"Namun, tiada perubahan sikap ditonjolkan oleh emak dan ayah sewaktu itu," katanya.

Jenazah lima sekeluarga itu dijangka dikebumikan dalam dua liang berasingan di kampung halaman Mohd Rodhi iaitu di Kampung Permatang, Sungai Dua, Butterworh, Pulau Pinang.

Pemerhatian wartawan di perkarangan Unit Forensik Hospital Gerik mendapati jenazah lima beranak itu siap disolat serta dikafankan sebelum dibawa menaiki empat van jenazah menuju Butterworth sekitar jam 11.20 pagi.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 1:25 PM