GAMBAR hiasan. FOTO Portal Rasmi JPN
GAMBAR hiasan. FOTO Portal Rasmi JPN
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyiasat semua kebarangkalian berhubung penyalahgunaan kad pengenalan merah atau Pemastautin Tetap (MyPR) susulan kematian seorang lelaki yang menggunakan identiti sebagai Basni Sabrah.

JPN menerusi kenyataan memaklumkan, semakan pihaknya mendapati pemilik sebenar MyPR terbabit masih hidup dan kekeliruan yang berlaku mungkin disebabkan kad individu terbabit pernah dilaporkan hilang sebelum ini, ditemui dan disalah guna pihak lain.

"Walaupun satu pihak lagi yang disyaki menggunakan MyPR yang hilang itu sudah meninggal dunia, JPN akan melakukan risikan dan siasatan terhadap kebarangkalian yang ada berkaitan kes ini.

"Ini kerana MyPR adalah salah satu jenis kad pengenalan yang dikeluarkan oleh jabatan ini kepada Pemastautin Tetap," katanya.

Menurut kenyataan itu, Pemastautin Tetap adalah berstatus bukan warganegara dan ia dikeluarkan kepada yang berkelayakan berdasarkan permit masuk dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

MyPR yang berwarna merah itu mempunyai semua data utama pemilik termasuk nombor permit dan maklumat negara asal.

Malah, proses pengeluaran MyPR menjalani tapisan oleh beberapa Jabatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), JIM dan JPN dengan setiap permohonan yang diluluskan perlu melalui proses saringan ketat termasuk pengesahan biometrik.

"Kesinambungan perlindungan dan penjagaan MyPR adalah terletak kepada pemiliknya. Malah Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPN) juga memperuntukkan kewajipan setiap pemilik menjaga kad pengenalan masing-masing.

"Sekiranya berlaku kehilangan, ia mestilah dilaporkan dengan segera kepada JPN. MyPR yang dilaporkan hilang akan dibatalkan di dalam sistem JPN," katanya.

Justeru, kad yang hilang itu sudah tidak sah untuk diguna pakai bagi sebarang urusan.

"Namun terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menjumpai kad terbabit dan menggunakan identiti pemilik sebenar itu. Modus operandi ini akan dapat dikesan sekiranya pengesahan biometrik dibuat, di mana akan membuktikan pemegang bukanlah pemilik sebenar.

"Menggunakan kad pengenalan orang lain adalah satu kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 64 tahun yang juga pemastautin tetap di negara ini, terkejut selepas dimaklumkan oleh anaknya yang berada di Dumai, Sumatera, Indonesia bahawa pihak kedutaan memaklumkan 'kematiannya' di Hospital Kajang pada 20 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 5:48 PM