GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Shahrinnahar Latib


PENIAGA wanita di Bentong kerugian RM50,000 selepas ditipu lelaki yang menawarkan perkhidmatan mendapatkan kad pengenalan merah atau Pemastautin Tetap (MyPR) kepada dua pekerjanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula April lalu apabila mangsa berusia 51 tahun ditawarkan perkhidmatan itu oleh suspek.

“Mangsa bersama dua pekerjanya diminta hadir ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Bentong, untuk mengambil cap jari serta mendapatkan MyPR berkenaan dengan pembayaran RM50,000.

“Semalam, pada 9.45 pagi, mangsa menyerahkan wang RM50,000 kepada suspek di hadapan pejabat JPN Bentong bagi mendapatkan MyPR seperti dibincangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selepas menyerahkan wang suspek menghilangkan diri tanpa menyerahkan kad MyPR seperti dijanjikan.

“Mangsa yang berasa ditipu oleh suspek membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, semalam.

“Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, polis berjaya menahan suspek berusia 60 tahun di Jalan Anuar, Bentong, petang semalam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih memburu seorang lagi suspek berusia 52 tahun yang dipercayai turut terbabit dalam kes itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 11:14 AM