MUHAMMAD Shafee yang mewakili Najib hadir di Mahkamah Persekutuan hari ini. FOTO BERNAMA
MUHAMMAD Shafee yang mewakili Najib hadir di Mahkamah Persekutuan hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menarik balik dua rayuannya bagi mendapatkan dokumen perbankan berkaitan firma pelaburan Goldman Sachs dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz untuk perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa Najib menarik semula kedua-dua rayuannya tanpa prejudis untuk dihujahkan semula di semua peringkat mahkamah.

"Kami (pihak pembelaan dan pendakwaan) bersetuju untuk syarat berikut. Kami akan menarik kedua-dua rayuan substantif tanpa prejudis supaya kami boleh berhujah di semua peringkat mahkamah termasuk di Mahkamah Tinggi.

"Mahkamah Tinggi ada menyatakan kami boleh berhujah semula mengenai perkara ini apabila saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan," katanya.

Beliau juga memberitahu mahkamah pihak pendakwaan tidak akan membantah hak Najib untuk memohon semula dokumen itu apabila saksi berkaitan memberi keterangan dalam perbicaraan itu di Mahkamah Tinggi.

Muhammad Shafee kemudiannya memohon mahkamah untuk membatalkan rayuan itu berdasarkan dua syarat yang dipersetujui oleh pihak pembelaan dan pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar mengesahkan perkara itu kepada mahkamah.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang mengetuai panel itu kemudian membatalkan rayuan itu tanpa mendengar merit rayuan terbabit.

Dua lagi hakim yang bersidang bersama Hakim Abang Iskandar ialah Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof.

Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Julai 2021 yang menolak dua permohonannya untuk meminta pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDBnya mendedahkan dokumen perbankan yang dikaitkan dengan keluarga Zeti atas dakwaan keluarganya didakwa menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.

Rayuan beliau juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lalu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan pada 24 Mac 2021 untuk meminta pihak pendakwaan memberikan beberapa penyata perbankan daripada syarikat termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd, dipercayai mempunyai kaitan dengan Jho Low dan keluarga Zeti dalam kes 1MDBnya.

Najib juga memfailkan permohonan kedua pada 7 April 2021 untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik berhubung telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

Najib, 69, kini dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan kes 1MDB akan diteruskan pada 7 Julai di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 3:03 PM