LAPORAN Harian Metro hari ini
LAPORAN Harian Metro hari ini
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Kejadian pecah masuk sebuah kedai emas di Bahau pagi tadi sehingga menyebabkan pemiliknya mengalami kerugian RM1.08 juta dipercayai dilakukan beberapa individu.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata ia berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.

Katanya hasil siasatan awal dijalankan polis, suspek dipercayai masuk ke dalam kedai emas itu dengan cara memotong besi tingkap nako dibahagian tandas.

"Suspek juga memecahkan pintu besi dan seterusnya masuk ke bilik kebal.

"Beberapa peralatan untuk yang diguna untuk memecah masuk, memotong besi dan pintu ditemui ditempat kejadian diambil untuk siasatan," katanya dalam satu kenyataan.

Hoo berkata suspek yang belum dikenal pasti itu memakai topi,bersarung tangan dan memakai pelitup muka ketika menjalankan kegiatan itu.

Katanya siasatan terperinci kejadian sedang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan atau menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Inspektor Raj Kumar di talian IPD Jempol 06-4582222 atau mana - mana balai polis berhampiran.

Media hari ini melaporkan sebuah kedai emas di Bahau dipecah masuk sehingga menyebabkan pemiliknya mengalami kerugian RM1 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 10:33 PM