BAYI lelaki bernama Muhammad Alif yang ditinggalkan ibu kandungnya warga Indonesia di Hospital Serdang pada 13 Mac lalu. FOTO ihsan JKM
BAYI lelaki bernama Muhammad Alif yang ditinggalkan ibu kandungnya warga Indonesia di Hospital Serdang pada 13 Mac lalu. FOTO ihsan JKM
Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Wanita Indonesia bertindak meninggalkan bayinya selepas melahirkan anak itu di Hospital Serdang, di sini, pada 13 Mac lalu.

Pejabat Kebajikan Masyarakat Cawangan Subang dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan bayi berkenaan dirujuk pada pihaknya oleh pihak hospital pada 8 Mei lalu.

"Kami dimaklumkan oleh pihak Hospital Serdang bahawa bayi berkenaan yang bernama Muhammad Alif ditinggalkan oleh ibu kandungnya bernama Ida Yatun Muslihan yang juga warga Indonesia.

"Selepas melahirkan bayi berkenaan pada 13 Mac lalu, wanita terbabit dikatakan meninggalkan anaknya itu di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) Hospital Serdang sebelum menghilangkan diri serta gagal dikesan," katanya.

Katanya, bayi itu sudah dibawa ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Petaling Jaya pada 25 Mei lalu untuk perintah penjagaan sementara di bawah Subseksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).

"Bayi terbabit kini ditempatkan di Institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tempoh sementara bagi membolehkan pihak kami menjalankan siasatan untuk mengesan ibu kandung kanak-kanak serta menyediakan laporan.

"Justeru itu, orang awam yang mengenali dan mempunyai maklumat berkaitan ibu kandung atau waris bayi terbabit diminta menghubungi pegawai kes, Wan Auni Sabihah Wan Mustafa di Unit Kanak-kanak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Cawangan Subang Jaya di talian 03-56343095.

"Orang ramai juga boleh hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Cawangan Subang Jaya dengan segera bagi membincangkan hal penempatan, kebajikan dan penjagaan bayi terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 11:36 AM