JKM memohon bantuan orang ramai untuk mengesan waris kanak-kanak lelaki,Visha, berusia dua tahun.Foto ihsan JKM.
JKM memohon bantuan orang ramai untuk mengesan waris kanak-kanak lelaki,Visha, berusia dua tahun.Foto ihsan JKM.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Tergamak tinggalkan anak kecil di rumah pelanggan sebelum menghilangkan diri.

Itu tindakan seorang tukang cuci kediaman dikenali sebagai Thevegi yang kini dikehendaki pihak Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Cawangan Subang Jaya bagi urusan hak penjagaan dan dokumentasi anaknya itu.

Pegawai pelindung JKM Cawangan Subang Jaya, Nur Fadilah Ali berkata, kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Visha itu ditinggalkan kepada pasangan suami isteri yang menetap di Rhythm Avenue, Subang Jaya, Selangor sejak September 2021.

Menurutnya, kanak-kanak lelaki itu yang kini berusia 2 tahun adalah anak warga tempatan.

"Ibunya sebelum ini akan datang membersihkan rumah pasangan suami isteri itu setiap hujung minggu selain melawat dan bertanyakan khabar anaknya itu.

"Namun sejak Januari lalu, wanita itu tidak lagi datang membersihkan rumah pasangan suami isteri terbabit dan gagal dihubungi," katanya.

Lebih malang, kanak-kanak itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, kanak-kanak itu tergolong dalam kategori yang memerlukan perlindungan dan pemeliharaan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016) kerana diabaikan oleh ibu kandungnya.

"JKM sedang berusaha menjalankan siasatan dan mengesan ibu kandung atau waris kanak-kanak itu bagi proses seterusnya," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi JKM Subang Jaya di talian 03-56343095 atau hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Cawangan Subang Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 9:41 AM