Muhammad Ayyash Mikhail
Muhammad Ayyash Mikhail
Samadi Ahmad


Putrajaya: Pejabat Kebajikan Masyarakat Cawangan Subang Jaya memohon bantuan orang ramai untuk mengesan ibu bapa kandung atau waris bayi lelaki bernama Muhammad Ayyash Mikhail yang lahir pada 9 Ogos lalu.

Pegawai Pelindung, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Subang Jaya, Wan Auni Sabihah Wan Mustafa berkata, bayi ini dirujuk ke pejabat JKM oleh Hospital Serdang selepas dijumpai di hadapan sebuah rumah di kawasan perumahan di Seri Kembangan.

Menurutnya, berdasarkan laporan polis, bayi ini ditemukan berdekatan rumah beralamat B-12-5, Pangsapuri Cahaya Permai, Jalan Permai Sentosa, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, pada 10 Ogos lalu.

Katanya, bayi ini dibawa ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Petaling Jaya pada 12 September lalu untuk perintah penjagaan sementara di bawah Subseksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).

"Mahkamah mengeluarkan perintah supaya bayi itu ditempatkan di institusi JKM untuk tempoh sementara bagi menjalankan siasatan mengesan ibu bapa kandung bayi itu serta menyediakan laporan," katanya dalam kenyataan.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkenaan ibu kandung atau waris bayi ini boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Cawangan Subang Jaya di talian 03-56343095 atau hadir ke pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 10:15 AM