KHAIRUDDIN berdikari dengan membuka pusat urutan badan refleksologi di Meru Raya bagi menyara kehidupan seharian. - Gambar NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
KHAIRUDDIN berdikari dengan membuka pusat urutan badan refleksologi di Meru Raya bagi menyara kehidupan seharian. - Gambar NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Status orang kelainan upaya (OKU) tidak menghalang Khairruddin Mazli, 32, yang suatu ketika dulu pernah mewakili negara dalam sukan bola sepak orang buta untuk berdikari dengan membuka pusat urutan badan dan refleksologi bagi menyara kehidupan seharian.

Selain mengusahakan perkhidmatan urutan refleksologi kaki, turut ditawarkan di premis perniagaan Khairruddin adalah urutan badan serta penjagaan muka.

Khairuddin adalah peserta kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) OKU Refleksologi di bawah pemantauan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) yang juga Sekretariat Jawatankuasa TVET Negeri Perak dan turut mempunyai pusat urutan refleksologi sendiri di Meru Raya di sini.

Beliau ketika ditemui berkata, semuanya bermula apabila mata kanannya mula buta pada 2008 iaitu tiga bulan sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas disahkan menghidap glaukoma sebelum penglihatan kedua-dua matanya hilang sepenuhnya 12 tahun lalu.

Susulan itu dia kemudian menjadi ahli Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), pada masa sama minatnya dalam sukan bola sepak membuatkannya menyertai Pasukan Bola Sepak Orang Buta Malaysia (BFAM) dan pernah mewakili negara menyertai kejohanan di Jepun pada 2015.

Bagaimanapun minatnya dalam sukan bola sepak terhenti pada tahun sama disebabkan kekangan masa dan kewangan termasuk perlu sering berulang alik Ipoh-Kuala Lumpur bagi mengikuti latihan, membuatkannya beralih angin membuka gerai menawarkan khidmat mengurut di tempat tumpuan awam.

"Pada 2015 juga saya mula menawarkan khidmat urutan di tepi jalan tempat tumpuan seperti di Padang Polo dan Bulatan Amanjaya iaitu sekitar Ipoh sebelum mula menyewa premis rumah kedai in setahun kemudian bagi menjalankan khidmat mengurut dengan berbekalkan modal permulaan sendiri RM30,000.

"Pada permulaannya teknik urutan saya pelajari melalui MAB namun pada 2021 iaitu selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan daripada pandemik Covid-19 saya mengikuti kursus urutan refleksologi selama dua bulan yang ditawarkan oleh PASAK khusus untuk OKU bagi menambah kemahiran.

"Daripada kursus saya pelajari lebih banyak teknik urutan reflekslogi termasuk teknik terbaharu serta titik penting dalam tubuh, Alhamdulillah selepas mengguna pakai segala teknik terbaharu itu pelanggan tetap saya makin bertambah," katanya.

Anak keempat dari lima beradik itu berkata, melalui PASAK beliau yang mengusahakan perkhidmatan itu bersama seorang rakan kongsi bukan sahaja mempelajari teknik urutan, malah turut dibimbing segi mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan melalui penganjuran acara tertentu sekitar Perak.

"PASAK menyediakan banyak peluang termasuk dengan cara membawa saya ke penganjuran pelbagai acara yang mana ia sekali gus mempromosikan perkhidmatan refleksologi yang saya tawarkan agar lebih dikenali yang mana daripada situ kebiasannya saya memperoleh pelanggan tetap.

"Bimbingan yang saya peroleh membolehkan saya berdikari mencari rezeki seperti sekarang. Pendek kata, mereka yang menyertai tidak akan ditinggal atau dipinggirkan hanya disebabkan sudah tamat mengikuti kursus di bawah agensi itu," katanya.

Katanya, hasrat mengusahakan perkhidmatan urutan itu pernah pada suatu ketika tidak dipersetujui keluarga termasuk bapanya yang juga pesara polis berikutan faktor usianya yang masih muda ketika mula menceburinya namun dia tetap tekad hingga berjaya membuktikan sebaliknya iaitu mampu berdikari sendiri hingga akhirnya hasrat itu diterima.

Malah, katanya, ibu bapa yang mempunyai anak OKU seharusnya terus menyokong tekad anak mereka itu dengan tidak menghalang anak mereka itu daripada bergaul dengan masyarakat pelbagai lapisan.

"Kalau boleh jangan 'simpan' (sorok) anak OKU, sebaliknya biarkan mereka keluar bekerja, bergaul dengan kawan-kawan supaya boleh kenal lebih ramai orang. Sebab sebagai OKU buta, kita pun hendak tak hendak kena kerja juga untuk cari duit bagi menyara keperluan hidup.

"Seperti saya yang mula-mula belajar dengan kawan-kawan yang turut sama bernaung di bawah persatuan MAB mengenai cara-cara mengurut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 3:18 PM