MUHAMMAD Shahrizal membantu neneknya, Teminah menguruskan perniagaan kuih loyang.
MUHAMMAD Shahrizal membantu neneknya, Teminah menguruskan perniagaan kuih loyang.

Batu Kurau: Kekurangan diri tidak pernah menjadi alasan buat orang kurang upaya (OKU) penglihatan, Muhammad Shahrizal Ismail berdikari sebaliknya dia gigih mencari rezeki sebagai tukang urut sebelum tercetusnya pandemik Covid-19.

Pekerjaan itu dilakukan sejak 2017, sebaik memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga hasil pengajiannya di Persatuan Orang Buta Malaysia di Brickfield, Kuala Lumpur.

Namun, Muhammad Shahrizal, 24, dari Kampung Banggol Sebelah di sini, yang mengalami masalah penglihatan tahap B1 tidak dapat aktif seperti dulu kerana pergerakan terhad dan masa terluang kini dimanfaatkan dengan membantu neneknya, Teminah Ahmad, 65, menjual kuih loyang.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, dia tidak membantu dari segi pembuatan, tetapi bertanggungjawab mengambil pesanan daripada pelanggan, membuat penghantaran dan menguruskan kewangan.

"Saya masih ada ibu dan ayah cuma sejak kecil lagi tinggal bersama nenek jadi banyak masa dengannya (nenek).

"Walaupun sudah berusia, nenek masih sihat malah dia sendiri menghasilkan kuih loyang itu yang dijual sejak 26 tahun lalu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Shahrizal berkata, dia berusaha mempromosikan perniagaan neneknya itu menerusi Facebook (FB).

Katanya, usaha itu berhasil apabila menerima lebih 800 pesanan dari seluruh negara sepanjang Ramadan lalu saja.

"Selain warna tradisional, nenek turut menghasilkan kuih loyang berwarna-warni sejak empat tahun lalu.

"Kedua-duanya diterima baik oleh pelanggan dan saya sendiri seronok dapat membantu nenek mencari pendapatan dari rumah.

"Namun, saya tidak berseorangan kerana bapa saudara turut membantu membuat penghantaran ke lokasi jauh kerana saya tidak boleh memandu," katanya yang pernah mengikuti kursus OKU Refleksologi di IGB Training And Consultancy, Ipoh di bawah tajaan Pusat Inspirasi Anak Perak (Pasak) pada Mac lalu.

Berkongsi perancangannya, Muhammad Shahrizal berkata, dia akan membuka premis yang menawarkan khidmat mengurut selepas Aidilfitri.

Katanya, premis itu dibuka di pekan Batu Kurau dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.

"Belum terfikir meninggalkan kerjaya sebagai tukang urut kerana itu kemahiran saya ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 6:45 AM