Azlan  mengurut kaki pelanggan di premis AZLAN FOOT REPLEX  dekat Batu Pahat.
Azlan mengurut kaki pelanggan di premis AZLAN FOOT REPLEX dekat Batu Pahat.

Batu Pahat: Keazaman seorang bapa kepada tiga anak selepas disahkan hilang deria penglihatan akibat kemalangan jalan raya lebih 20 tahun lalu membuatkannya tekad untuk meneruskan kehidupannya walaupun pada mulanya sukar menerima hakikat itu.

Kekuatan yang datang daripada sokongan ahli keluarga membuatkan Azlan Md Arip, 39, bukan saja mampu meneruskan kehidupan malah menubuhkan pusat refleksologi dikendalikan Orang Kurang Upaya (OKU) pertama di daerah ini.

Menurut Azlan, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata dan sebaik saja menyedari tidak lagi dapat melihat dunia, dia kecewa dan merasakan masa depannya gelap.

“Saya tidak tahu apa yang boleh dilakukan bagi mencari rezeki untuk menanggung keluarga dalam keadaan serba kekurangan ketika itu.

“Saya buntu dan tidak mampu memikirkan apa yang boleh dilakukan untuk meneruskan kehidupan yang penuh mencabar ini,” katanya.

Namun ketika semangatnya untuk meneruskan hidup semakin pudar, bapa saudaranya, Ali Ibrahim, 50, datang ke rumah dan memberikan semangat kepadanya untuk terus bersemangat dalam menjalani kehidupan.

Dalam masa sama, bapa saudaranya itu turut mencadangkan supaya mendalami bidang refleksologi bagi meneruskan kehidupan.

Azlan berkata, berkat sokongan dan cadangan diberikan bapa saudaranya itu, dia mula menjalani modul latihan urutan refleksologi dan badan sebelum membuka perniagaannya.

“Saya menjalani latihan di kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields, Kuala Lumpur.

“Selepas setahun setengah mendalami ilmu urutan berkenaan, saya kemudian menerima tauliah bagi mengurut sebelum bekerja di beberapa premis di Kuala Lumpur dan Johor Bahru,” katanya.

Menurutnya, dengan pengalaman yang ada, dia mengambil keputusan membuka premis urut sendiri pada 2008 di bangunan Arked Majlis Amanah Rakyat (MARA) di sini.

“Kini saya sudah mempunyai tiga cawangan pusat refleksologi iaitu di Taman Maju, bangunan MARA dan di Dataran Penggaram.

“Saya sudah mempunyai 14 pekerja terdiri golongan OKU, namun jumlah pekerja itu kini semakin tidak mencukupi disebabkan jumlah pelanggan yang semakin meningkat,” katanya.

Katanya, selepas melalui pelbagai cabaran, dia mampu berdikari dan menjalani kehidupan sama seperti insan normal.

“Setiap orang mampu berjaya dan setiap dugaan yang datang dalam hidup perlu dijadikan panduan sekali gus memberikan kekuatan pada diri sendiri tanpa perlu bergantung pada orang lain.

“Saya juga kini berharap mana-mana OKU yang memerlukan pekerjaan boleh datang belajar dan bekerja dengan saya memandangkan saya amat memerlukan pekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:15 AM