Ruwaida Md Zain


Klang: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua calon serta penyokong mereka agar tidak membangkitkan isu agama dan kaum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan nanti.

Baginda juga menegaskan calon dan penyokong tidak memainkan isu sensitif yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan di kalangan rakyat khususnya di negeri Selangor ini.

"Beta ingin berpesan kepada calon-calon serta penyokong-penyokong mereka agar dapat menjalankan kempen pilihan raya dengan cara yang berhemah dan bertanggung-jawab dengan mematuhi undang-undang pilihan raya yang sedia ada serta undang-undang lain yang berkaitan.

"Calon-calon dan penyokong mereka juga

diingatkan agar tidak mencaci, menabur fitnah dan mengadu domba terhadap pihak lawan ketika berkempen bagi mengelakkan perpecahan di kalangan rakyat negeri Selangor yang berbilang bangsa ini," titah baginda selepas Istiadat Pengisytiharan Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, hari ini.

Dalam titah itu, Sultan Sharafuddin berkenan menetapkan tarikh Istiadat Pengisytiharan Pembubaran Dewan Negeri Selangor lebih awal kerana baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin akan berangkat menunaikan ibadah haji esok.

"Beta dalam menjalankan kuasa yang diberikan di bawah Fasal (2) Perkara 70 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan setelah berunding dan menerima permintaan pembubaran DUN Selangor dari Menteri Besar, berkenan menandatangani Proklamasi Pembubaran Dewan Negeri Selangor pada hari ini dan akan berkuat kuasa pada hari Jumaat, 23 Jun.

"Ini bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri Selangor diadakan. Beta dijangka kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji pada 4 Julai depan," titah baginda.

Pada titah berkenaan juga, Sultan Sharafuddin memaklumkan bahawa baginda akan menjalani rawatan dan pembedahan pada 28 Julai depan.

"Beta akan ke London untuk menjalani rawatan dan pembedahan (surgery) Holmium Laser Enucleation of the Prostate (HoLEP) yang akan diketuai oleh Dr. Tev Aho.

"Beta menjangkakan akan kembali ke tanah air pada 15 Ogos depan. Sekiranya kesihatan Beta mengizinkan, Beta akan berangkat balik lebih awal daripada tarikh yang berkenaan.

"Beta berharap Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor dan sekalian yang hadir dapat mendoakan agar Allah swt mempermudahkan segala urusan Beta dan Tengku Permaisuri Selangor ketika menjalankan ibadah haji dan memperolehi haji yang mabrur.

"Beta juga berharap Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor dan sekelian yang hadir dapat mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Beta ketika menjalani rawatan di London nanti," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga berharap untuk kembali sembuh seperti sediakala bagi membolehkan baginda menjalankan tugas sebagai Raja Pemerintah dan Ketua Agama Islam bagi negeri Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 12:35 PM
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menandatangani proklamasi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri Selangor Jumaat ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Istana Alam Shah, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menandatangani proklamasi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri Selangor Jumaat ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Istana Alam Shah, Klang. FOTO FAIZ ANUAR