Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Demi ibu, saya menjadi penderma darah tegar untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan," kata penerima Sijil Penghargaan Emas Penderma Darah Paling Kerap, Sukri Jusoh, 56.

Sukri yang bekerja di sebuah kilang di Pengkalan Chepa berkata, dia terinspirasi menderma darah ketika arwah ibunya, Siti Aminah Sulaiman, ketika itu memerlukan darah segera bagi menjalani pembedahan.

"Disaat getir saya kelam kabut mencari penderma darah termasuk bertanya rakan dan pada ketika itu salah seorang rakan bersedia menderma darah, namun ia masih belum mencukupi untuk menampung jumlah bekalan darah diperlukan.

"Pada masa sama, rakan menyarankan saya supaya turut sama menderma darah dan akui sedikit takut terhadap jarum memandangkan kali pertama menderma darah, namun tetap memberanikan diri demi menyelamatkan nyawa arwah ibu.

"Bagaimanapun, pada tahun 2004, arwah ibu meninggal dunia disebabkan angin ahmar," katanya ketika ditemui selepas Program Derma Darah Perdana Sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 yang disempurnakan Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Mydin Mall Tunjong.

Bapa kepada tiga anak berusia antara 22 hingga 27 tahun itu berkata, setakat ini dia sudah menderma darah lebih 100 kali dan ia dilakukan secara sukarela, bukannya disebabkan ingin anugerah atau penghargaan daripada sesiapa.

"Saya menderma darah secara berkala di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan Hospital Universiti Sains Kubang Kerian dan boleh dikatakan dalam setahun akan menderma darah sebanyak empat kali bergantung kepada keadaan kesihatan diri.

"Ini adalah sumbangan ikhlas saya dan sangat gembira melakukan perkara ini kerana secara tidak langsung dapat membantu mereka yang memerlukan dan pada masa sama saya juga pemilik darah jenis O.

"Alhamdulillah, saya juga berasa lebih sihat dan cergas selepas menjadikan aktiviti menderma darah sebagai rutin sejak tahun 1995," katanya yang menetap di Taman Uda, Pengkalan Chepa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 12:45 PM
Sukri Jusoh (kiri) bersama Penderma Aferesis paling Kerap, Long Ariff Long Aziz (tengah) dan Penerima Anugerah Penganjur kempen Derma Darah Paling Responsif, Kapt Mohd Zaidi (kanan) gembira menunjukkan sijil masing-masing ketika ditemui selepas Program Derma Darah Perdana Sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 yang disempurnakan Tunku Noor Hayati di Mydin Mall Tunjong. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sukri Jusoh (kiri) bersama Penderma Aferesis paling Kerap, Long Ariff Long Aziz (tengah) dan Penerima Anugerah Penganjur kempen Derma Darah Paling Responsif, Kapt Mohd Zaidi (kanan) gembira menunjukkan sijil masing-masing ketika ditemui selepas Program Derma Darah Perdana Sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 yang disempurnakan Tunku Noor Hayati di Mydin Mall Tunjong. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR