Murnaena Muhammad Nasir


"SAYA jatuh cinta untuk menderma darah kerana selain membantu menyelamatkan nyawa, badan juga lebih sihat dan cergas," kata Eksekutif Pentadbiran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Khairi Abdul Khalid, 46, yang menderma darah 150 kali sejak berusia 23 tahun.

Pemilik darah jenis O itu berkata, dia tidak pernah terlepas melakukannya setiap empat bulan.

"Memandangkan darah jenis O dapat diterima oleh semua jenis darah, saya terpanggil menderma demi menyelamatkan lebih ramai nyawa.

"Ini adalah buku keempat (buku catatan menderma darah) yang saya ada dan sudah menderma darah hampir 150 kali," katanya pada Kempen Derma Darah di lobi Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Khairi berkata, dia sering mengajak rakan-rakannya untuk sama-sama menderma.

"Saya sering meyakinkan rakan-rakan yang tidak pernah menderma darah untuk menjadi penderma.

"Syukur, semua rakan saya kini jadi penderma tetap," katanya.

Sementara, Eksekutif Pemasaran dan Komunikasi NSTP Juraidi H Juwahir, 36, berkata, kisah silam terbabit kemalangan jalan raya menyebabkan dia konsisten menderma darah.

"Saya selalu terbayang, jika ketika kemalangan itu, stok darah yang sesuai untuk saya tiada, pasti saya perkara tidak diingini akan berlaku.

"Disebabkan itu, saya terpanggil untuk menjadi penderma setia dan setakat ini, saya sudah menderma sebanyak 85 kali," katanya yang memiliki darah jenis B.

PENDERMA darah aktif Juraidi (kiri) dan Khairi (kanan) bergambar bersama Pegawai Perubatan PDN, Siti Nurfazzilah selepas menderma darah di Kempen Derma Darah di lobi Balai Berita, Anjung Liku Bangsar, Kuala Lumpur.
PENDERMA darah aktif Juraidi (kiri) dan Khairi (kanan) bergambar bersama Pegawai Perubatan PDN, Siti Nurfazzilah selepas menderma darah di Kempen Derma Darah di lobi Balai Berita, Anjung Liku Bangsar, Kuala Lumpur.

Rakan sekerja Juraidi, Zuliana Ahmad Zaki, 38, berkata, pada mulanya dia takut untuk menderma kerana beranggapan akan terasa sakit ketika dicucuk jarum suntikan.

"Kali pertama saya menderma pada 2006, namun saya tidak rasa sakit ketika disuntik.

"Sejak itu, saya terus jadikan ia sebagai rutin untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Pusat Darah Negara (PDN) Siti Nurfazzilah Ruslan berkata, pihaknya giat mengadakan kempen derma darah bagi memastikan semua jenis bekalan darah mencukupi.

"Setakat ini, di PDN, semua jenis bekalan darah mencukupi. Bagaimanapun, begitu kempen derma darah masih giat dijalankan.

"Hasil kempen ini, kami berjaya menarik 36 penderma dan mengumpul 26 beg darah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 7:26 PM