Rosman Shamsudin


Slim River: Seorang guru yang juga penderma darah tegar menetapkan sasaran 100 kali menderma darah apabila usianya mencecah 50 tahun.

Setakat ini, Mohd Shahrulnizam Hashim,48, yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Zulkifli Muhammad di sini, sudah menderma darah sebanyak 85 kali.

Mohd Shahrulnizam berkata, mula menderma darah pada usia 19 tahun ketika melanjutkan pengajian di di Institut Bahasa Kuala Lumpur (IBKL) pada 1992.

Katanya, selepas melihat kepentingan menderma darah kepada orang yang memerlukan maka mulai saat itu dia berazam menjadikan derma darah sebagai kemestian.

"Sejak dahulu lagi, selepas dua bulan setengah atau tiga bulan saya akan ke hospital untuk menderma darah.

"Apa yang saya lakukan ini adalah atas rasa tanggungjawab untuk membantu masyarakat terutama mereka yang memerlukan darah," katanya ketika ditemui di Taman Slim Makmur, dekat sini.

Atas sumbangannya itu, Mohd Shahrulnizam mendapat penghargaan dari Jabatan Kesihatan Perak antaranya sijil penghargaan sempena Sambutan Hari Derma Darah Sedunia Peringkat Negeri Perak 2017, Penderma Darah Cemerlang Hospital Slim River (HSR) 2018 dan Penderma Darah Utuh Terbanyak sepanjang tahun 2020 sempena Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri di Taiping.

Malah, dia juga pernah dijemput sebagai ahli panel bagi Forum Penderma Darah di Dewan Sri Tanjung Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) pada 2017.

Katanya, usahanya tidak berhenti sekadar penderma darah sahaja dan bagi menggalakkan lebih ramai menderma darah, dia juga menganjurkan Kempen Derma Darah peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT).

Katanya, dia bersyukur setiap kempen yang dianjurkan pasti melebihi sasaran darah yang ditetapkan selepas menerima sambutan menggalakkan daripada golongan sasar.

"Sepanjang pengalaman saya menderma darah , tidak pernah saya mengalami masalah kesihatan malah saya berasa lebih sihat dan cergas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 12:51 PM
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Zulkifli Muhammad Slim River, Mohd Shahrulnizam Hashim, 48, menunjukkan kad derma darah dan sijil penghargaan di kediamannya dekat Taman Slim Makmur. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Zulkifli Muhammad Slim River, Mohd Shahrulnizam Hashim, 48, menunjukkan kad derma darah dan sijil penghargaan di kediamannya dekat Taman Slim Makmur. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN