Ahmad Hasbi

Nilai: Sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dikesan menggunakan taktik baharu untuk membawa bahan terlarang itu ke negara ini dengan memasukkan kokain ke dalam kapsul dan mengisytiharkannya sebagai suplemen atau makanan tambahan.

Modus operandi kali pertama itu dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam pemeriksaan apabila menemukan dadah dipercayai kokain seberat 88 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM17.6 juta.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menyerbu Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira 8 malam 1 Ogos lalu.

"Hasil pemeriksaan menemui empat kotak berisi botol kaca mengandungi kapsul disyaki dadah berbahaya jenis kokain dengan berat kasar 88kg dan anggaran nilai rampasan berjumlah RM17.6 juta.

"Siasatan awal mendapati dadah berkenaan dimasukkan ke dalam botol kaca dan dipercayai dibawa dari sebuah negara di Eropah Barat," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa dengan cara mengikrarkan dagangan sebagai suplemen sedangkan di dalamnya terdapat botol kaca yang mengandungi dadah berbahaya.

"Botol kaca berkenaan mengandungi 995 kapsul berwarna putih dipercayai berisi kokain. Malah, turut ditemui di dalam kotak bersama botol kaca adalah empat cakera brek yang diletakkan di tengah-tengah.

"Siasatan awal mendapati dagangan ini diimport dari Belanda dan mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir dan dipercayai untuk pasaran tempatan.

"Berdasarkan penemuan cakera brek dan negara asal dadah yang pernah dibongkar JKDM sebelum ini, berkemungkinan penyeludupan dijalankan sindiket yang sama," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan juga mendapati pengimport menggunakan maklumat palsu pada dokumen pengimportan yang menyukarkan pihak JKDM untuk membuat tangkapan.

"Ini menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan ini. Bagaimanapun, suspek sedang dikesan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Justeru, katanya, orang awam diseru untuk memberi kerjasama kepada JKDM dengan menyalurkan maklumat sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 1:07 PM