AHMAD Maslan. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Maslan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyediakan imbuhan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah, termasuk aktiviti sindiket pengedaran dadah, yang menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit bahan terlarang itu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, imbuhan atau hadiah tertentu diberikan sekiranya maklumat itu berjaya membawa kepada kejayaan penangkapan sindiket atau individu tertentu.

"Pemberi maklumat diberikan hadiah tertentu dan kita akan teruskan pemberian hadiah kepada pemberi maklumat… jumlah tertentu diberi kepada pemberi maklumat jika terdapat tangkapan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Program Pematuhan 'Authorized Economic Operator' (AEO) Bersepadu Peringkat Nasional Bil. 01/2023 di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, JKDM merampas 454 kilogram (kg) dadah bernilai hampir RM70 juta dalam tiga serbuan di Pelabuhan Klang dan Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang awal bulan ini, hasil maklumat Kementerian Dalam Negeri (KDN) Arab Saudi.

Ahmad merakamkan penghargaan kepada KDN Arab Saudi yang menyalurkan maklumat berkaitan kontena mengandungi dadah dari Brazil yang menuju ke India tetapi singgah di Malaysia itu.

Berkaitan kes penyeludupan dadah melalui Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia, Ahmad berkata, ia adalah sesuatu yang memeranjatkan dan memberikan nama yang tidak baik kepada Malaysia di peringkat perkastaman dunia.

"Kerajaan pandang serius di mana kelemahan yang menyebabkan perkara itu berlaku," katanya dan menambah JKDM perlu meningkatkan aktiviti pemantauan, pengintipan serta perkongsian maklumat bagi membanteras kegiatan sindiket pengedaran dadah melalui negara ini.

Media sebelum ini melaporkan, pihak berkuasa Australia merampas 336kg heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.

Polis Persekutuan Australia (AFP) pada kenyataan dilaporkan berkata, Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen, yang masing-masing seberat 500kg.

Ditanya adakah anggota JKDM mencukupi ketika ini, beliau berkata, beberapa Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) memerlukan penambahan anggota seperti di Sabah, Sarawak dan Johor, namun setakat ini perkara itu tidak menjejaskan operasi.

Berkaitan AEO, Ahmad berkata, 136 syarikat sudah mendapatkan akreditasi AEO daripada JKDM sejak 2022 hingga Mei tahun ini.

"JKDM menyasarkan 41 syarikat baharu akan dapat diiktiraf sebagai AEO tahun ini. Saya gesa syarikat di luar secara sukarela sertai AEO," katanya.

Program AEO Nasional bertujuan memudah cara mekanisme pelepasan dagangan menerusi fasilitasi perdagangan secara bersepadu, memupuk tadbir urus lebih telus pihak berkepentingan serta memastikan pembayaran duti serta cukai yang lebih tepat untuk meningkatkan pungutan hasil negara.

Program itu diperkenalkan oleh Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) pada 2005 dan dilaksanakan oleh JKDM mulai 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 3:03 PM