Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Di sebalik keayuan wajahnya, siapa sangka Atirah Asmaa Kamarulzaman rupanya pakar menebar roti canai.

Gadis manis berusia 20 tahun itu mempunyai pengalaman selama lapan tahun iaitu sejak di bangku sekolah rendah lagi bergelumang dalam pembuatan roti canai.

Atirah Asmaa berkata, minatnya terhadap pembuatan roti canai timbul apabila sering membantu bapanya di kedai makan mereka di Tok Bali, Pasir Puteh ketika berusia 12 tahun dan dari situ tugasnya di premis itu lebih cenderung kepada menebar roti canai.

"Menginjak ke usia remaja baru saya mula belajar menghasilkan doh roti canai sendiri dan setiap hari kira-kira 10 kilogram (kg) adunan saya hasilkan.

"Pada awal-awal menebar roti canai dulu memang selalu jadi perhatian kerana pelanggan rasa pelik tengok kerana selalu lelaki yang menjalankan kerja ini tapi saya tidak kekok pun.

"Rasa seronok dan gembira apabila dapat lakukan kerja yang tak ramai wanita buat, lebih-lebih lagi apabila sudah menjadi minat, memang tiada masalah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Atirah Asmaa yang juga penuntut Kolej Vokasional Besut dalam jurusan kulinari kini mempamerkan kepakarannya di sebuah kopitiam di bangunan Hotel H Elite, Tunjong di sini.

Anak ketiga dari enam adik beradik itu berkata, dia yang sedang menjalani latihan industri selama lima bulan di hotel berkenaan memilih untuk berada di kopitiam terbabit kerana 'kena dengan jiwa' yang sudah lali menguli serta menebar roti canai.

"Banyak lagi seksyen yang ada di hotel ini antaranya dapur dan bankuet tapi ketika saya mula-mula sampai di sini sebulan lalu, saya ternampak ada menu roti canai di kopitiam di aras bawah bangunan yang juga dimiliki hotel dan terus menawarkan diri untuk membuat serta menebar roti canai," katanya.

Atirah Asmaa berkata, untuk tugasnya di kopitiam itu, dia akan menyediakan adunan sekitar tujuh hingga sembilan kilogram dan biasanya jualan memang habis malah pelanggan juga memuji roti canai yang dihasilkannya sedap.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 12:12 PM
Atirah Asmaa menebar roti canai ketika ditemui di sebuah kopitiam yang diusahakan di bangunan Hotel H Elite, Tunjong, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Atirah Asmaa menebar roti canai ketika ditemui di sebuah kopitiam yang diusahakan di bangunan Hotel H Elite, Tunjong, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR