Siti Rohana Idris

TERUJA, gerun, dan geli. Itu antara perasaan pelanggan gerai yang menyediakan 'roti canai ular' di Kampung Kubur Kuda, Kota Bharu untuk menikmati menu yang tular sejak seminggu lalu.

Adunan bentuk ular seakan menyusur namun sebaik aroma yang timbul selepas digoreng ditambah lagi dengan campuran perisa pilihan ternyata membangkitkan selera pelanggan yang sudah tidak sabar untuk merasai roti canai ular yang disediakan Che Harun Ali, 46.

Che Harun yang sudah 30 tahun menebar roti canai berkata, adunan berbentuk ular itu sudah dihasilkan sejak setahun lalu di gerainya terdahulu di Tumpat sebelum berpindah ke sini empat bulan lalu.

"Sejak seminggu lalu, ada pelanggan yang mengambil gambar dan video cara saya menghasilkan roti canai ular ini dan bermula dari itulah ia mulai tular menyebabkan gerai kecil saya ini dikunjungi pelanggan bertali arus.

"Sambutannya agak menggalakkan namun disebabkan lokasi gerai adalah sedikit ke dalam (kampung) menyebabkan orang ramai tidak terlalu mengetahui menu yang saya hasilkan sekian lama ini," katanya sambil memberitahu hampir 10 kilogram adunan disediakan setiap hari untuk menghasilkan roti canai.

Dihasilkan dalam lima perisa atau inti iaitu planta dan susu pekat, milo, keju, kaya dan nestum, harga yang ditawarkan antara RM1.50 hingga RM3.

Mengimbas kembali bagaimana idea menghasilkan roti canai bentuk ular itu tercetus, Che Harun berkata, pada mulanya dia hanya menebar adunan dan membentuk reptilia itu secara spontan.

CHE Harun menyediakan 'roti canai ular' di kedainya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
CHE Harun menyediakan 'roti canai ular' di kedainya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Ketika itu pelanggan sudah tidak ramai dan saya menebar untuk makan sendiri sebelum membentuknya dengan membuat lingkaran dan rupanya seperti ular.

"Ketika ingin makan, ada pelanggan yang ternampak dan memberi cadangan untuk saya terus hasilkan roti canai dalam bentuk ini dan saya cuba perelokkan sedikit rupanya sehinggalah menjadi seperti sekarang.

"Ada juga pelanggan yang meminta bentuk lain kerana alasannya tidak sanggup untuk makan dan saya tukar kepada bentuk asal (bulat) dan segi empat," katanya yang mengusahakan gerai itu bersama isterinya, Che Nor Azlina Husin, 39.

Kelainan bentuk roti canai yang dihasilkan Che Harun menarik seorang pelanggan Afdalila Abas, 34, yang datang ke gerai itu bersama suami dan dua anaknya untuk bersarapan.

Afdalila yang datang dari Kubang Kerian berkata, mereka menonton video tular sejak semalam dan memandangkan lokasinya tidak jauh, mereka datang untuk mencuba.

"Rasanya agak sedap garing ditambah dengan pelbagai perisa malah apa yang lebih menjadi tarikan adalah rupa bentuknya yang seakan ular.

"Walaupun ular adalah reptilia yang digeruni tapi apabila dibentukkan dalam adunan roti canai, ia menjadi comel dan mungkin boleh dihasilkan dalam bentuk lain pula selepas ini sekaligus dapat menarik minat kanak-kanak," katanya.

NORAZIZON Salleh, 39, teruja menunjukkan 'roti canai ular' yang disediakan oleh Che Harun. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NORAZIZON Salleh, 39, teruja menunjukkan 'roti canai ular' yang disediakan oleh Che Harun. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 5:24 PM