ZULKIFLI dari Flat Bukit Kecil Dua, Kuala Terengganu yang cacat penglihatan sedang menebar roti canai di kedainya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
ZULKIFLI dari Flat Bukit Kecil Dua, Kuala Terengganu yang cacat penglihatan sedang menebar roti canai di kedainya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


BUTA mata, tapi terang hati. Itu dapat disimpulkan apabila melihat keupayaan Zulkifli K Alabi, 51, yang tangkas menebar roti canai walaupun cacat penglihatan.

Lebih mengagumkan, meskipun mengalami kekurangan, lelaki itu tetap gigih bekerja untuk membesarkan enam anaknya termasuk tiga yang masih bersekolah.

Ketika ditemui, Zulkifli berkata, dia mula berkerja sebagai penebar roti canai sejak berusia 17 tahun lagi.

“Mata kanan saya memang tak dapat melihat sejak kecil dan mata kiri pula dulu rabun, tapi masih boleh nampak.

“Bagaimanapun sekarang mata kiri semakin hilang fungsi dan saya cuma dapat lihat sekitar lima peratus saja berbanding orang normal.

“Begitupun bagi saya, soal penglihatan tidak menjadi isu kerana paling penting semangat untuk berkerja dan mencari nafkah keluarga yang mendorong saya untuk meneruskan pekerjaan ini,” katanya.

Menurutnya, dia bersama isteri, RohainiYusof, 45, dikurniakan enam anak berusia sembilan hingga 23 tahun.

Katanya, tiga daripada mereka masih bersekolah iaitu Siti NurAisyah, 16, Siti Nur Aqilah, 13 dan Nor Maisarah, 9, menyebabkan dia tetap bersemangat bekerja walaupun berdepan cabaran berikutan masalah penglihatan.

“Biarpun sudah 14 tahun berniaga roti canai dan sebelum itu bekerja sebagai penebar roti canai, pendapatan saya masih tidak menentu.

“Mujur Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan RM400 sebulan dan ia banyak membantu meringankan beban kami sekeluarga.

“Saya bernasib baik kerana ramai pelanggan tetap sentiasa memberi sokongan,” katanya.

Zulkifli berkata, dia tetap meneruskan perniagaan itu selagi terdaya kerana aktiviti menebar roti canai itu sudah menjadi rutin dan membuatkannya gembira.

Lagipun, katanya, dia tiada kemahiran lain selain menebar roti canai.

Sementara itu, anak kedua Zulkifli, Muhamad Alimin, 19, berkata bapanya adalah adiwira sebenar kerana tidak menjadikan kecacatannya sebagai alasan untuk tidak berusaha mencari nafkah untuk menanggung keluarga.

Katanya, sejak kecil dia melihat kegigihan bapanya berkerja sebagai penebar roti canai sebelum menjalankan perniagaan sendiri pada 2004.

“Biarpun tidak memiliki penglihatan sempurna, ayah tidak pernah menjadikan kekurangannya itu sebagai alasan untuk tidak berkerja dan menyara kami enam beradik.

“Pernah ayah membuat dua kerja pada satu masa iaitu berniaga di kedai pada waktu pagi dan mengambil upah menebar roti canai pada waktu malam.

“Semangat dan ketabahan ayah dalam mencari rezeki untuk keluarga menjadi inspirasi kepada saya dan adik,” katanya yang mempunyai Sijil Kemahiran Pemasangan Paip Gas daripada Kolej Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC).

Muhamad Alimin berkata, dia mempunyai minat untuk mewarisi ilmu menebar roti canai daripada bapanya itu, tetapi belum sempat untuk mempelajarinya.

Katanya, kebanyakan pelanggan tetap hanya ingin menjamah roti canai disediakan ayahnya menyebabkan dia memberi tumpuan kepada kerja lain di kedai contohnya membancuh air.

“Sekarang penglihatan ayah semakin terhad, mata kanannya sejak daripada kecil tidak berfungsi manakala mata kiri semakin kabur.

“Sebab itu saya mengambil tanggungjawab menghantar dan mengambilnya di kedai setiap hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 3:43 PM