Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (dua, kanan) diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Operasi PR1MA, Zulkarnain Zainuddin (dua, kiri) tentang kawasan tapak ketika membuat lawatan kerja di tapak projek Residensi D’Marina @ Pinggiran Putra 2 hari ini. FOTO BERNAMA
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (dua, kanan) diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Operasi PR1MA, Zulkarnain Zainuddin (dua, kiri) tentang kawasan tapak ketika membuat lawatan kerja di tapak projek Residensi D’Marina @ Pinggiran Putra 2 hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuantan: Sebanyak 93 projek perumahan dikenal pasti bermasalah di Pahang setakat ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 77 daripadanya adalah projek perumahan sakit, sembilan lewat disiapkan manakala tujuh projek terbengkalai.

Menurutnya, pasukan petugas yang ditubuhkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk menyelesaikan masalah berkenaan demi kepentingan pembeli tanpa mengenepikan aspek kualiti.

"Punca projek-projek ini mengalami masalah antara lain iaitu perkara di bawah kawalan pemaju yang mana kegagalan mereka menguruskan projek dengan baik dan kedua perkara di luar kawalan misalnya mendapatkan kebenaran dan komitmen daripada agensi tertentu.

"Mesej kami kepada pemaju jelas, mereka kena siapkan rumah kerana mereka yang merancang, menjual dan sebagainya, namun bila rumah siap lewat daripada tarikh sepatutnya, ramai terkesan.

"Justeru, campur tangan kerajaan ini untuk berbincang dengan pihak berkaitan untuk dapatkan komitmen mereka agar rumah dapat disiapkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat projek sakit di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Taman 1-Icon dan projek PR1MA, Residensi D'Marina @Pinggiran Putra 2, di sini, hari ini.

Katanya, projek bermasalah itu membabitkan projek perumahan swasta selain projek di bawah agensi kerajaan.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 51 projek dipulihkan di Pahang bermula Januari sehingga September lalu dengan 47 daripadanya berjaya mendapatkan sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) dan bakinya sudah dilancarkan kembali gerak kerja.

Selain itu, Akmal Nasrullah memaklumkan PR1MA memberikan komitmen untuk menyelesaikan kesemua baki 13 projek sakit di seluruh negara sebelum penghujung 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 4:43 PM