Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Sebanyak 50 peratus daripada 86 projek perumahan di Kelantan dikenal pasti bermasalah.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata peratusan projek perumahan bermasalah di Kelantan adalah paling tinggi berbanding negeri lain sekitar 15 peratus sahaja.

"Di Kelantan sebanyak 86 projek perumahan yang sedang berjalan dan daripada jumlah itu, 44 projek adalah bermasalah dan kita merasakan keadaan itu luar biasa berbanding negeri lain.

"Masalah itu sama ada projek berdepan kelewatan atau projek sakit. Ia kemungkinan berpunca daripada pihak pemaju, pihak berkuasa tempatan dan pembekal.

"Ini menjadi satu kebimbangan kerana dari jumlah projek, ia tidak sebesar negeri lain namun saya melihat aspek kesan kepada pembeli. Peratusan di Kelantan jauh lebih tinggi berbanding negeri lain hanya 15 peratus.

"Justeru, pada bulan lalu ketika saya datang ke Kelantan, saya sudah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan mencadangkan supaya menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani masalah ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Jelajah Madani di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh, di sini, hari ini.

AKMAL Nasrullah Mohd Nasir. FOTO Bernama
AKMAL Nasrullah Mohd Nasir. FOTO Bernama

Pada masa sama katanya, sebanyak 43 projek perumahan di Kelantan juga direkodkan tidak berlesen.

"Ini berdasarkan aduan yang diterima daripada pembeli yang membuat laporan kepada kementerian apabila rumah yang mereka beli terbengkalai.

"Apabila pembeli merujuk kepada kementerian dan kita membuat semakan mendapati projek terbabit tidak berlesen yang menyebabkan tindakan susulan sukar diambil.

"Malah jumlah ini juga agak tinggi dan berharap pembeli dapat membuat semakan terlebih dahulu sebelum menjadi mangsa kepada projek perumahan tidak berlesen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 10:37 PM