Mangsa kedua iaitu seorang remaja berusia 13 tahun ditemukan lemas di Sungai Masai di sini hari ini.
Mangsa kedua iaitu seorang remaja berusia 13 tahun ditemukan lemas di Sungai Masai di sini hari ini.
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: "Walaupun masih kecil, adik rajin ke surau dan mengaji, saya tidak sangka dia antara mangsa ditemukan lemas di Sungai Masai," kata Mursyid Ahmad abang mangsa lemas petang semalam.

Katanya, adiknya yang juga anak kelima daripada enam beradik Mohd Danish ,11, keluar rumah di Bandar Seri Alam di sini pada 3.40 petang semalam.

Menurutnya, selepas kanak-kanak itu gagal pulang ke rumah, ahli keluarganya mula mengesannya di kawasan sekitar perumahan itu mulai waktu malam.

Katanya, pada jam 5.30 awal pagi hari ini, dia menerima panggilan daripada rakan yang menyatakan ada seorang mangsa lemas ditemukan di Sungai Masai di sini.

"Saya ke lokasi dan mendapati ia benar adik saya. Saya tidak sangka dia ke lokasi berkenaan kerana sebelum ini dia hanya keluar mengaji dan ke surau.

"Mungkin ini adalah kali pertama dia ke situ sebelum ditimpa kejadian malang itu," katanya.

Mursyid berkata, arwah sudah selesai dibedah siasat dan keluarganya akan mengurus pengebumiannya.

"Saya kurang pasti di mana arwah akan dikebumi, yang pasti kami akan merinduinya selama-lamanya kerana dia insan peramah dan penyayang," katanya.

Mohd Danish antara dua mangsa lemas ditemukan di Sungai Masai, berhampiran Flat Seri Intan, Bandar Seri Alam, di sini jam 5.06 pagi manakala seorang lagi mangsa, Zahir Ajmal Mohd Idris, 13 ditemukan pada jam 7.38 pagi.

Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan kedua-dua mangsa itu pada pukul 11.31 malam semalam sebelum operasi mencari dan menyelamat digerak membabitkan seramai 19 pegawai dan anggota.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 4:29 PM