OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di Sungai Masai di sini sejak awal pagi hari ini bagi mengesan mangsa yang dikhuatiri lemas. FOTO Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di Sungai Masai di sini sejak awal pagi hari ini bagi mengesan mangsa yang dikhuatiri lemas. FOTO Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Seorang kanak-kanak ditemukan lemas manakala seorang remaja lagi masih hilang di Sungai Masai di Masai di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 11.31 malam tadi.

Menurutnya, lokasi kejadian berhampiran Kondominium Seri Intan, Jalan Tasik, Bandar Seri Alam di sini.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan 13 anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang dan enam anggota dari Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Skudai dengan sebuah fire rescue tender (FRT), sebuah pacuan empat roda.

"PPDA membuat operasi pencarian pada 4.28 pagi dan menemukan seorang mangsa dikenali sebagai Mohd Danish Ahmad berusia 11 tahun pada 5.06 pagi hari ini.

"Mangsa ditemukan di jarak 50 meter dari lokasi dilaporkan hilang dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa masih hilang, Zahir Ajmal Mohd Idris berusia 13 tahun.

"Operasi masih dijalankan oleh pasukan penyelamat bagi mengesan Zahir Ajmal di lokasi kejadian," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Masai, Indraputra Ibrahim berkata, pencarian dilakukan selepas ibu Zahir Ajmal membuat laporan polis dan disangka hanya seorang mangsa dikhuatiri lemas.

Menurutnya, mereka tidak disangka seorang lagi mangsa ditemukan di tempat kejadian.

"Keluarga Zahir menyatakan anaknya adalah anak bongsu daripada tiga beradik bersama rakan-rakan bermain di sekitar kawasan berkenaan sebelum terjatuh.

"Difahamkan rakan-rakan mangsa yang turut bersamanya hanya berkongsi berkaitan kejadian pada jam 10 malam.

"Mereka difahamkan ke lokasi berkenaan pada waktu petang dan dipercayai untuk memancing namun tiada maklumat lengkap diperoleh," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 8:02 AM