MAYAT kanak-kanak dan remaja yang ditemukan lemas diangkat keluar. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
MAYAT kanak-kanak dan remaja yang ditemukan lemas diangkat keluar. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


Pasir Gudang: Kegembiraan enam rakan bermain di tepi Sungai Masai berhampiran Taman Masai Utama di sini berakhir tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan lemas.

Selepas lebih tiga jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam akhirnya berjaya menemukan kedua-dua mangsa iaitu Shariff Mohd Sharizan, 11 dan Mohd Ahlan Kiram, 14.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Hamdan Ismail, berkata Shariff itemukan pada jarak 15.24 meter dari lokasi dipercayai lemas pada jam 9.18 malam tadi, manakala Mohd Ahlan pula ditemui pada jarak 18.29 meter dari lokasi, jam 10.32 malam tadi.

Katanya, seramai 21 pegawai dan anggota bomba termasuk sembilan dari Unit Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

"Difahamkan, Mohd Ahlan dipercayai cuba membantu rakannya, Shariff, yang dilihat mula lemas ketika cuba mengambil selipar, namun percubaannya gagal sehingga kedua-duanya lemas," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru untuk proses bedah siasat.

MAYAT kanak-kanak dan remaja yang ditemukan lemas diangkat keluar. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
MAYAT kanak-kanak dan remaja yang ditemukan lemas diangkat keluar. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI

Suasana hiba menyelubungi lokasi kejadian ketika kedua-dua mayat ditemukan sehingga ada ahli keluarga salah seorang mangsa terpaksa dipapah pihak berkuasa.

Bagaimanapun ahli keluarga enggan ditemubual ketika dihampiri media.

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Azmil Rizuan, 13, yang kelihatan masih trauma memaklumkan, dia bersama enam rakannya bermain di kawasan sekitar ketika air masih surut.

"Ini adalah pertama kali kami bermain di sungai ini sebab airnya tidak dalam, ketika sedang bermain secara tiba-tiba selipar kawan termasuk di dalam sungai.

"Kami cuba bantu mengambilnya, mujur ada seorang lagi rakan sempat menarik kaki dan saya selamat," katanya.

Terdahulu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Yusri Atan, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 6.14 petang tadi.

Katanya, setibanya bomba di tempat kejadian, didapati terdapat dua mangsa dipercayai lemas di sungai yang mempunyai kedalaman kira-kira 2.7 meter.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 12:07 AM