ROSYAM Nor mengumumkan peserta yang terkeluar pada peringkat separuh akhir program Da'i Pendakwah Nusantara musim keenam. FOTO Eizairi Shamsudin
ROSYAM Nor mengumumkan peserta yang terkeluar pada peringkat separuh akhir program Da'i Pendakwah Nusantara musim keenam. FOTO Eizairi Shamsudin
Amirul Haswendy Ashari


BIAR pun mendapat soalan menarik mengenai cara mendidik generasi ini memiliki semangat sukarelawan pada segmen Imtihan (ujian), Da'i Syahmi, 20, gagal mara ke peringkat akhir Da'i Pendakwah Nusantara yang bakal berlangsung pada 28 September, minggu depan.

Pada peringkat separuh akhir program realiti yang bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, hari ini, tiga peserta diumumkan berjaya melangkah kaki ke peringkat akhir.

Mereka ialah Imran Mohd Zaki, 21, atau Da'i Imran; Muhammad Adam Muhibullab Abdullah, 26, (Da'i Adam) dan Haziq Safwan Norazman, 23, (Da'i Haziq).

Pada pusingan pertama, setiap peserta diberi dua minit untuk berdebat antara satu sama lain.

Da'i Haziq berdebat dengan Da'i Syahmi untuk topik ‘Generasi Z Terlalu Manja,’ manakala Da'i Adam berdebat dengan Da'i Imran untuk topik ‘Dakwah Bil Lisan Lebih Berkesan.’

Pada pusingan kedua, Da'i Haziq bergabung dengan Da'i Syahmi berdebat dengan gabungan Da'i Adam dan Da'i Imran untuk topik Perpaduan Kaum Tanggungjawab Media dalam tempoh empat minit.

Juri tetap, Ustaz Mohamad Zarifi, berkata, semua peserta berjaya mencetus agenda untuk memandaikan ummah.

"Mereka ada roh pendebat dan penghujah terutama Da'i Imran yang sangat tenang di segi penyampaian," katanya.

Dalam pada itu, Da'i pilihan penonton berdasarkan tanda pagar paling tinggi di media sosial sepanjang siaran tadi ialah Da'i Adam, kedua Da'i Haziq dan ketiga Da'i Imran.

Da'i Pendakwah Nusantara musim ke-6 diacarakan Datuk Rosyam Norserta diadil juri tetap Ustaz Mohamad Zarifi dan Profesor Madya Dr Sharifah Haayati Syed Ismail.

Mursyid Da'i musim keenam ialah Datuk Mohd Zawawi Yusoh manakala Murabbi pula Ustaz Harryanto Rizal Rokman dan Ustaz Fakhrul Radhi Khamarudin.

Juara minggu depan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM60,000, naib juara RM15,000 dan tempat ketiga RM10,000.

Foto Ezairi Shamsudin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 11:27 PM